Tuesday, July 3, 2007

Usah terpikat tawaran mudah dapat wang

INGATAN demi ingatan daripada polis, persatuan pengguna mahupun media mengenai penipuan cabutan bertuah, gores dan menang serta peraduan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), namun masih ramai terpengaruh sehingga sesetengahnya kerugian beribu-ribu ringgit. Sepanjang tahun lalu hingga Mei tahun ini, polis menerima 718 laporan orang ramai berhubung kes penipuan seperti itu membabitkan kerugian RM3.2 juta. Kebanyakan mangsa golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Tahun lalu misalnya, ramai diganggu dengan SMS palsu yang mengeksploitasi program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) untuk mengaut keuntungan sehingga banyak pihak terpedaya. Sejak itu, Astro mengingatkan orang ramai jangan terperangkap dengan tipu helah itu, malah ingatan juga dibuat ketika rancangan siaran langsung AF5 yang ditonton jutaan penonton. Bagaimanapun masih ada yang terpedaya. Apakah ini budaya orang kita yang suka mencuba nasib dengan harapan dapat meraih hadiah lumayan ribuan ringgit? Tidak sedarkah di sebalik pesanan itu ada muslihat tersembunyi untuk memerangkap mereka? Dalam hal ini, kita memuji usaha polis yang berterusan memerangi sindiket licik itu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, menyatakan siasatan serius sedang dijalankan untuk membendung kegiatan itu, tetapi masalahnya orang ramai tidak pernah serik, malah angka kerugian yang dicatatkan setiap bulan semakin bertambah kerana tabiat rakyat negara ini yang mahu untung segera tanpa perlu berusaha keras.

Berdasarkan rekod polis, ada enam jenis modus operandi dikaitkan dengan penipuan SMS iaitu cabutan bertuah dari Macau yang memperalatkan nama Petronas, Akademi Fantasia 4, DiGi, Gang Starz dan Audisi KDI 4. Kita akui memang sukar membendung masalah ini kerana dalang sindiket terbabit rakyat asing dan sumber operasi itu juga berpangkalan di luar negara dengan menggunakan nombor telefon seperti di Macau, Hong Kong atau Indonesia. Contohnya, nombor seperti 0062813878013335. Bukan mudah mengesan pemilik telefon bimbit itu kerana negara terbabit dan sebahagian besar lagi negara lain tidak mendaftarkan nama pengguna. Malah di negara kita, tindakan mewajibkan pendaftaran telefon mudah alih baru saja dilaksanakan. Ini bermakna caj penghantaran SMS akan diterima pengusaha telefon bimbit di negara itu. Menurut polis, modus operandi sindiket ini bermula dengan menggunakan akaun rakyat tempatan, terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menerima deposit orang ramai. Kemudian sindiket ini menghantar SMS secara rambang kerana mengetahui nombor permulaan di negara ini seperti 012, 019, 012, 013 dan 014 dengan menambah apa saja nombor di belakangnya. Contohnya ‘Pengumuman dari Petronas Malaysia, tahniah anda memenangi undian bertuah hadiah cek tunai RM10,000’. Mungkin kerana tertarik dengan tawaran lumayan itu, orang ramai mudah terpengaruh dan tanpa berfikir panjang memasukkan sejumlah wang ke akaun tertentu bagi melayakkannya menuntut cek terbabit. Lebih malang sindiket ini dikatakan memegang kad mesin juruwang automatik (ATM) pemilik akaun bagi memudahkan mereka mengeluar segala wang di dalam akaun sebelum lesap.

Kita berharap orang ramai khususnya pelajar tidak membenarkan nama mereka digunakan pihak tertentu bagi membuka akaun bank walaupun diberi ganjaran. Orang ramai seharusnya tidak mudah percaya apabila menerima SMS mengenai peraduan seumpama itu. Selain boleh menghubungi pihak berkuasa terutama polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau Pihak Pemberi Perkhidmatan Selular (PPS), mereka boleh menghubungi organisasi yang kononnya menganjurkan peraduan itu mengenai kesahihan SMS berkenaan. Kita berharap mereka yang menjadi mangsa tampil membantu polis supaya dapat menyegerakan siasatan dan bertindak tegas terhadap sindiket ini.


3/7/2007

No comments: