Thursday, July 5, 2007

Universiti, industri saling memerlukan

Oleh Dr Zaini Ujang

HUBUNGAN akademik-industri mempunyai sejarah tersendiri yang semakin sukar difahami. Sejak awal abad ke-20, banyak institusi pendidikan dinaik taraf sebagai universiti diasaskan kepada idealisme ilmu yang tidak begitu sinonim dengan fahaman unilitarianisme, tuntutan pasaran kerja dan perkembangan industri.

Sejak awal abad lalu, universiti ternama seperti Oxford, Cambridge dan Harvard meletakkan tembok besar pemisah antara ‘menara gading’ dengan sektor industri, realiti kehidupan dan komuniti perdagangan dengan alasan pemurniaan ilmu.

Untuk membolehkan ilmu berkembang dan dipelajari dengan penuh ketulusan oleh ‘ahli ilmu’ dan biarawan, maka universiti perlu dipisahkan daripada realiti penuh dengan pelbagai ragam ketidakwarasan, fahaman materialisme, penyelewengan, kerakusan dan kepalsuan.

Barangkali itulah juga yang memberi kesan sehingga berkembang gagasan kebebasan akademik ketika sebahagian besar biaya universiti mula ditampung pihak kerajaan selepas Perang Dunia Kedua khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat (sebelum itu dibiayai dermawan dan peninggalan harta pusaka).

Dalam usaha memacu pembangunan ekonomi ketika ini, generasi muda, termasuk veteran perang dilatih di universiti dan politeknik dengan biaya penuh kerajaan untuk melengkapkan diri masing-masing dengan pelbagai kepakaran sesuai dengan permintaan pasaran kerja dan sektor industri.

Sebagai pulangan, pihak universiti perlu bersikap lebih utilitarian dengan memenuhi permintaan pasaran kerja dari segi falsafah, silibus dan pendekatan ilmu serta kemahiran. Sebelum itu, silibus universiti ditentukan sepenuhnya golongan akademik berasaskan idealisme ilmu ke arah melahirkan golongan yang mempunyai pemikiran, budaya dan citra intelektual sejagat.

Ketika itu, bidang pengajian dan penyelidikan di kebanyakan universiti diasaskan konsep liberal arts dengan terasnya subjek seperti falsafah, pemikiran, ekonomi, politik, sosiologi, sejarah, agama, fizik, kimia, biologi dan matematik.

Pada tahap yang lebih tinggi, pengkhususan dilakukan dalam bidang-ilmu-sarat-falsafah seperti perundangan, perubatan, ekonomi, fizik, kimia, biologi dan seni bina.

Bidang berkaitan langsung dengan dunia industri dan kegiatan ekonomi seperti kejuruteraan, perakaunan, pengurusan dan perdagangan tidak ditawarkan di universiti kerana tidak sesuai dari segi idealisme ilmu ketika itu, malah bercanggah dengan gagasan kemurniaan ilmu.

Di Britain misalnya, bidang pengajian berkaitan dengan amalan dan kehendak industri seperti kejuruteraan, perakaunan dan perdagangan pada awalnya hanya ditawarkan di politeknik dan institusi profesional.

Pada era 1960-an, perubahan mendadak berlaku menampakkan corak lebih mesra utalitarianisme menerusi penubuhan universiti ‘red bricks’ seperti Manchester, Newcastle, Leeds, Sheffield dan Nottingham.

Sehingga ke hari ini, Cambridge dan Oxford masih mengekalkan tradisi ‘pemurniaan ilmu’ itu biar beberapa bidang baru mula diperkenalkan, tetapi dirangka sedemikian supaya lebih bersifat filsafat dan konseptual.

Bidang kejuruteraan di Oxford misalnya, dikenali sebagai Sains Kejuruteraan dengan penekanan kepada prinsip dan konsep sains kejuruteraan, bukan pengkhususan dalam sesuatu cabang kerjaya (kejuruteraan kimia, awam, mekanikal, elektrik dan sebagainya).

Perubahan lebih drastik berlaku pada awal 1990-an menerusi reformasi pengajian tinggi diperkenalkan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher. Reformasi itu berjaya memecahkan ‘tembok pemisah’ antara universiti dan politeknik, menjadikan institusi pengajian tinggi lebih terbuka kepada pelbagai inovasi dan bersifat lebih utalitarian.

Pada awalnya, politeknik dibiayai kerajaan tempatan dan universiti oleh Kerajaan Pusat. Menerusi reformasi disifatkan sesetengah profesor sebagai ‘bencana’ akademik, semua politeknik diberi status universiti menggunakan mekanisme kewangan dan sistem urus tadbir sama. Oleh itu, tidak ketara lagi perbezaan peranan, pendekatan dan disiplin ilmu dalam konteks pengajian tinggi.

Universiti bekas politeknik di Britain mengekalkan identiti dan dasar liberal dari segi idealisme ilmu dengan pendekatan lebih bersifat vokasional. Pendekatan ini mendapat sambutan meluas di kalangan pelajar kerana modul pengajarannya lebih praktikal dan sesuai dengan pasaran kerja.

Kerjasama dan jalinan dengan sektor industri semakin mantap menerusi bidang pengajaran dan penyelidikan.

Sementara universiti lama dan prestij di kebanyakan negara maju semakin menyedari kepentingan industri sebagai rakan dan sasaran pasaran kerja.

Industri juga menaja program penyelidikan. Kelompok ini juga menyedari tidak semua graduan berminat menjadi pekerja ilmu dalam sektor pengajian tinggi yang memerlukan penguasaan ilmu fundamental dan teoretikal.

Kenyataannya kebanyakan graduan akan berkerja dalam pelbagai sektor lain, terutama industri dan perdagangan.

Di sinilah titik tolak sehingga menyebabkan Cambridge bersedia bersifat lebih terbuka dan utilitarian. Ia banyak menerima geran penyelidikan ditaja pelbagai pihak, termasuk industri, misalnya Yayasan Bill dan Melinda Gates menaja program penyelidikan komputer terbesar dalam sejarah.

Malah, pada 7 Jun lalu, Harvard menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada Bill Gates, bekas pelajar paling terkenal dan terkaya yang gagal menamatkan pengajiannya.

Semua peristiwa ini dianggap sebagai ‘pelacuran ilmu’ jika dilakukan pada 1970-an, apatah lagi pada tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Kononnya perkembangan ilmu akan dipengaruhi mereka yang berkepentingan dan kaya-raya dengan menyediakan geran penyelidikan atau endowmen.

Sudah tentu geran itu disediakan dengan matlamat tersirat untuk meningkatkan lagi pengaruh sektor industri dalam perkembangan ilmu. Dengan kata lain, perkembangan ilmu tidak lagi bebas dari segi nilai dan penggunaannya.

Namun, semakin banyak pihak menyedari bahawa institusi pengajian tinggi bukanlah satu-satunya sektor yang menyumbang kepada perkembangan ilmu.

Dalam dunia tanpa sempadan, kecanggihan teknologi maklumat dan berkembangnya ekonomi berasaskan ilmu, maka perkembangan ilmu turut dijayakan banyak institusi lain seperti pusat penyelidikan awam dan swasta, inkubator industri, badan pemikir dan profesional, ilmuan dan perunding bebas, penulis dan pemikir.

Dalam bidang robotik misalnya, syarikat Honda dan Toyota lebih menonjol berbanding MIT atau Imperial College London (ICL). Itulah yang menyebabkan universiti ternama bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk lebih mesra utilitarianisme dengan membuka ruang lebih luas kepada kerjasama dengan pihak industri.

Ketika ini banyak kerusi pengajian, makmal, program penyelidikan dan perundingan di universiti ternama, termasuk MIT, ICL dan Oxford ditaja hampir sepenuhnya oleh pihak industri atau tokoh korporat.

Keadaan ini nampaknya menambah lagi dinamisme perkembangan ilmu. Pihak industri berperanan mengemukakan masalah dan keperluan semasa serta menyediakan biaya penyelidikan dan penajaan lain. Pihak universiti pula mengemukakan gagasan, jawapan dan alternatif untuk membolehkan sempadan ilmu, kemahiran dan maklumat diperluaskan lagi.

Atas kesedaran ini maka Kementerian Pengajian Tinggi sudah pun memulakan inisiatif bekerjasama lebih akrab dengan pihak industri. Inisiatif berkenaan antara lain bertujuan untuk merapatkan jurang persepsi antara sektor akademik dan industri dari segi kemahiran insaniah dan teknikal.

INTI PATI

Revolusi pendidikan

Sejak awal abad lalu, universiti ternama seperti Oxford, Cambridge dan Harvard meletakkan tembok besar pemisah antara ‘menara gading’ dengan sektor industri.

Pada era 1960-an, perubahan mendadak berlaku menampakkan corak lebih mesra utalitarianisme menerusi penubuhan universiti ‘red bricks’.

Perubahan lebih drastik pada awal 1990-an menerusi reformasi pengajian tinggi diperkenalkan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dan ia berjaya memecahkan ‘tembok pemisah’ antara universiti dan politeknik.

Dalam dunia tanpa sempadan, kecanggihan teknologi dan berkembangnya ekonomi berasas
ilmu, maka perkembangan ilmu turut dijayakan banyak institusi.

Kementerian Pengajian Tinggi sudah memulakan inisiatif bekerjasama dengan pihak industri yang bertujuan merapatkan jurang persepsi antara sektor akademik dan industri.

Prof Dr Zaini Ujang adalah pengarang buku ‘Universiti: Mendokong Tradisi Intelektual’ (IKD, 1992) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

No comments: