Monday, July 2, 2007

Elak terpedaya perangkap jenayah siber

DUNIA semakin maju dan perkembangan teknologi juga menjadikan kebebasan menyampaikan maklumat serta mengakses pelbagai perkara seakan tiada sempadan lagi. Begitu banyak faedah dapat dicapai dalam kemajuan itu, tetapi jangan lupa, dunia juga kini berdepan pelbagai salah guna teknologi yang memberi kesan buruk kepada masyarakat seluruh dunia termasuk di negara kita.

Antaranya, penggunaan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kini mula menjadi alat berguna kepada penjenayah siber menyalahgunakannya dengan tujuan mengaut keuntungan mudah dan berlipat kali ganda.

Jika diimbas kembali, tahun lalu masyarakat negara ini diganggu dengan SMS palsu yang mengeksploitasi nama rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) untuk mengaut keuntungan selepas berjaya memperdaya ramai pihak.

Modus operandinya kelihatan begitu mudah. Hantar SMS secara rambang dengan menawarkan hadiah lumayan dan meminta penerima SMS memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun anggota sindiket kononnya sebagai deposit untuk menebus hadiah.

Akhirnya, bukan sedikit yang tertipu, malah pada tahun lalu saja 309 kes menggunakan nama AF4 dilaporkan kepada polis, membabitkan kerugian lebih setengah juta ringgit.

Tersentak dengan situasi itu, pelbagai pihak termasuk polis, syarikat pengendali telefon bimbit dan agensi pengawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melancarkan pelbagai kempen serta peringatan kepada pengguna telefon bimbit supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah itu.

Namun, bagaimana kesannya? Bayangkan, untuk lima bulan pertama tahun ini kes penipuan SMS semakin menjadi-jadi. Malah, yang menggunakan nama AF4 masih lagi berleluasa sedangkan musim baru AF5 sudah berakhir. Mengapa terlalu mudah rakyat negara ini diperdaya?

Sindiket penipuan SMS menggunakan nama AF4 adalah paling kritikal, namun tanpa disedari, rupa-rupanya muncul pula sindiket dan taktik lebih agresif, malah mampu mengundang kerugian lebih besar kepada orang ramai yang ‘tamak dan mudah terpedaya’.

Apa tidaknya, hanya dalam masa lima bulan pertama tahun ini, sindiket yang berpusat di Macau dengan kaedah menghantar SMS dalam bahasa Mandarin kepada sasaran masyarakat Cina di Malaysia, berjaya ‘meragut’ lebih RM1.8 juta daripada orang ramai.

Persoalannya, bagaimana senario ini masih berterusan sedangkan bukan sedikit langkah pencegahan dijalankan, malah hampir seluruh rakyat sudah sedia maklum mengenai kewujudan jenayah itu. Ia bagai mencurah air ke daun keladi, semuanya sia-sia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, berkata sebanyak enam sindiket penipuan SMS dikesan masih bergerak aktif di negara ini iaitu dengan menggunakan nama AF4, DiGi, Petronas, Gang Starz, Audisi KDI 4 selain yang beroperasi di Macau, menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Malah, selepas pelbagai kempen diadakan, tiga daripada enam sindiket yang dinyatakan itu baru muncul tahun ini menunjukkan ia masih mampu beroperasi memperdayakan mangsa dengan mudah. Bagai mencuri dalam terang.

Justeru, jika langkah penguatkuasaan sudah dijalankan, malah peringatan demi peringatan sudah habis ceruk negara dijelajahi, apa lagi istilah yang layak digunakan untuk menggambarkan situasi mangsa penipuan ini jika bukan dilabel sebagai ‘orang tamak selalunya rugi’.

Bagi semua pihak terutama polis dan SKMM, hanya peringatan berterusan mampu diluahkan dengan harapan masyarakat membuka mata lebih luas dan tidak lagi terus membenarkan penipuan ini terus memperdayakan lebih ramai masyarakat. Penguatkuasaan tidak akan berjaya selagi sikap tamak terus membelenggu rakyat negara ini.


2/7/2007

No comments: