Tuesday, July 3, 2007

Tamu Selasa: Promosi SDSI angkat produk desa

Oleh Misiah Taib bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Seminar khas antara usaha Melaka bawa industri kecil ke peringkat global

MELAKA akan menganjurkan ‘Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI)’ bermula Khamis hingga Ahad ini dan seminar antarabangsa OVOP (one village one product). Apa matlamatnya.

Kerajaan mensasarkan beberapa objektif seperti berikut:

Menjadi platform untuk mengetengahkan dan memperkenalkan produk SDSI kepada orang ramai dan memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa produk desa juga adalah produk yang berprestij dan berkualiti;


Mewujudkan rantaian perniagaan antara pengimport, pembeli, pengedar, pengeluar produk terkenal, pasar raya besar, hotel terkemuka, restoran serta pengguna;


Memberi ruang dan saluran tepat untuk pengusaha SDSI mempamerkan produk;


Memberi pendedahan kepada umum bahawa produk SDSI adalah produk yang boleh dikomersialkan sama ada di pasaran domestik atau antarabangsa;


Memperkenalkan produk SDSI kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta yang berpotensi untuk menjadikan daerah terbabit sebagai daerah angkat, dan


Mempromosikan pembangunan ekonomi dan kerjasama erat setiap negara dan rantau menerusi inovasi dan penggunaan sumber daya tempatan dalam konsep OVOP.

Bolehkah Datuk Seri jelaskan mengenai program dan pengisian Showcase SDSI 2007.

Ia akan berlangsung mulai 5 hingga 8 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Program ini adalah satu program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka. Penganjuran Showcase SDSI kali ini bertemakan ‘Gerbang dan Platform ke Pasaran Global’.

Ini adalah tahun kedua kerajaan Melaka menjadi tuan rumah penganjuran program ini. Showcase tempatan meliputi pameran dan jualan oleh pengusaha SDSI terbaik seluruh negara, membabitkan 13 negeri. Showcase Antarabangsa pula meliputi pameran produk enam negara yang mengamalkan konsep SDSI atau OVOP iaitu Jepun, China, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Demonstrasi penghasilan produk SDSI meliputi demonstrasi masakan, kraf tangan, batik, pertunjukan fesyen dan sebagainya, selain program pemadanan perniagaan, program Anak Angkat dengan pembabitan GLC dan swasta untuk menjadikan daerah terpilih sebagai daerah angkat, pameran usahawan, mesin dan teknologi / bahan mentah, pertandingan kategori pavillion terbaik dan kategori produk SDSI terbaik.

Bolehkah Datuk Seri terangkan program dan pengisian Seminar Antarabangsa OVOP.

Ia akan berlangsung sehari pada 5 Julai ini. Seminar Antarabangsa OVOP kali ini adalah seminar antarabangsa kali ke-4 diadakan di Malaysia di bawah urus setia Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama kerajaan Melaka. Seminar yang pertama diadakan pada November 2004 di Chiang Mai, Thailand.

Seminar kali kedua pada November 2005 di Xian, China, ketiga di Oita Prefecture, Jepun pada Oktober 2006. Sebanyak sembilan kertas kerja mencakupi isu dan pengalaman negara yang mengamalkan konsep SDSI akan dibentangkan membabitkan lapan negara iaitu Jepun,China, Taiwan, Indonesia, India, Kemboja, Thailand dan Malaysia.

Bagaimana pula dari segi jumlah penyertaan.

Seramai 108 peserta luar negara sudah mengesahkan penyertaan mereka membabitkan 15 negara termasuk Malaysia selain Jepun (22 peserta), China (34), Taiwan (19), Korea Selatan (enam), Thailand (sembilan), Kemboja (empat), Filipina (tiga), Tunisia (tiga), Brunei dan Mongolia masing-masing dua peserta, manakala seorang dari India, Mozambique, Uganda dan Indonesia.

Mengapa Melaka dipilih menjadi tuan rumah kedua-dua acara berkenaan.

Melaka dijadikan sebagai tempat tetap tahunan penganjuran Showcase SDSI oleh Jawatankuasa Kerja SDSI Peringkat Kebangsaan. Kerajaan Pusat menerusi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi kepercayaan atas kejayaan Melaka menganjurkan Showcase SDSI pada 2006 lalu.

Kemudahan seperti dewan pameran, bilik seminar dan sebagainya di MITC diiktiraf Kerajaan Pusat untuk penganjuran Showcase SDSI dan Seminar Antarabangsa secara serentak. Melaka sebagai negeri yang terkenal dengan produk dan destinasi pelancongan bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2007 dan menyemarakkan lagi Perayaan Ulang tahun Ke-50 kemerdekaan negara.

Mungkin ada kelainan program kali ini yang ditawarkan Melaka.

Pameran ‘Malaysian Kitchen’ juga akan diadakan dengan penyertaan 13 negeri di Malaysia. Ia mempamer dan menjual dua jenis masakan terbaik bagi setiap negeri. Pengunjung boleh merasai masakan dari setiap negeri di gerai makanan yang disediakan. Melaka misalnya menawarkan asam pedasnya sebagai satu produk. Penganjuran kali ini juga berkonsepkan pameran dan jualan secara langsung produk SDSI sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Kita juga akan mengadakan ‘Networking Dinner’ di Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) di Umbai pada malam Khamis ini dengan beberapa acara persembahan kebudayaan tempatan Melaka. Selain itu turut diadakan lawatan ke Pusat Kemajuan Kraf tangan Malaysia dan Homestay Seri Tanjung, Masjid Tanah, Alor Gajah pada Jumaat ini untuk melihat secara dekat produk kraf tangan yang dihasilkan pengusaha SDSI.

Bagi Melaka sendiri, apakah produk SDSI yang dibangunkan.

Kerajaan Melaka sudah melaksanakan tiga industri yang sesuai mengikut daerah iaitu di Melaka Tengah-industri pakaian; Alor Gajah- industri kraf tangan dan di Jasin-industri makanan. Sebanyak 283 usahawan SDSI dibangunkan oleh kerajaan negeri menerusi program SDSI setakat ini iaitu industri pakaian (58 usahawan), industri kraf tangan (43 usahawan) dan industri makanan (182 usahawan).

Apakah langkah promosi yang dijalankan dan harapan Datuk Seri berhubung penganjuran Showcase SDSI dan Seminar Antarabangsa OVOP kali ini.

Melaka menjalankan promosi bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara ke Melaka dengan mengadakan beberapa kegiatan iaitu promosi menerusi iklan empat bas Transnasional ke seluruh negara, hebahan dan iklan berbentuk ‘jingle’ ke seluruh stesen radio RTM, pemasangan iklan kain rentang di seluruh negara, menjadikan Melaka sebagai Pusat Pemasaran Produk SDSI peringkat tempatan dan antarabangsa, menarik pengunjung terutama pelancong selari dengan sasaran menarik pelancong seramai 6 juta ke Melaka pada 2007.

Saya amat berharap pengunjung terutama pelancong dalam dan luar negara khususnya delegasi antarabangsa akan mendapat pengalaman menarik ketika berada di Melaka sesuai dengan slogan ‘Melawat Melaka Bersejarah, Bererti Melawat Malaysia’.


3/7/2007

No comments: