Monday, July 2, 2007

Sindiket luar negara dalang penipuan SMS

PENYALAHGUNAAN SMS adalah satu daripada fokus yang sentiasa diberi perhatian Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Malah, langkah membanterasnya juga sering dijalankan sama ada menerusi tindakan penguatkuasaan atau penyebaran maklumat supaya masyarakat peka dengan perkembangan jenayah moden itu.

PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga melancarkan pelbagai pendekatan mencegah penularan jenayah SMS iaitu dengan beberapa kaedah seperti membuat kenyataan akhbar, melancarkan kempen pencegahan jenayah, menghebahkan penipuan berkenaan menerusi siaran radio dan televisyen, menampal notis peringatan di mesin pengeluaran wang (ATM), menyampaikan mesej peringatan menerusi telefon bimbit dan mengedarkan notis nasihat di serata pelusuk negara.

Agak melegakan apabila semua usaha ini membuahkan hasil positif kerana menunjukkan pengurangan dalam kes terbabit. Namun, tidak dinafikan kerisauan tetap ada kerana penularan jenayah ini masih lagi berleluasa menerusi pelbagai taktik baru yang lebih meruncingkan.

Polis percaya jenayah SMS di negara ini ditunjangi beberapa sindiket yang berpusat di negara luar kerana nombor telefon digunakan untuk menjalankan penipuan itu nyata adalah nombor telefon luar negara seperti 0062813878013335.

Menurut rekod JSJK, ada enam jenis modus operandi dikaitkan dengan penipuan SMS iaitu cabutan bertuah dari Macau, menggunakan nama Petronas, Akademi Fantasia 4 (AF4), Digi, Gang Starz dan Audisi KDI 4.

Pengarah JSJK, Datuk Ramli Yusuff, berkata pada 2006, lebih RM710,000 kerugian dilaporkan kepada pihak polis diterima daripada mangsa penipuan SMS membabitkan kes Macau, AF4 dan Digi.

Belum pun reda dengan tiga taktik itu, negara dibebani pula dengan tiga lagi taktik penipuan SMS, malah setakat Mei tahun ini saja, penipuan menggunakan nama Petronas, Audisi 4 dan Gang Starz menyebabkan kerugian lebih RM175,000 iaitu wang orang ramai diperdayakan.

Lebih merisaukan apabila kerugian yang dicatatkan oleh kes Macau pada tahun ini menunjukkan angka menggerunkan iaitu sebanyak lebih RM1.8 juta, jauh lebih tinggi daripada kerugian hasil eksploitasi nama AF4 yang selama ini heboh diperkatakan di seluruh negara.

Ramli berkata, bagi semua kes itu, modus operandinya hampir sama – menghantar SMS kepada mangsa secara rambang dengan menawarkan hadiah kemenangan yang tinggi, seterusnya meminta mangsa menghubungi mereka melalui nombor yang disertakan.

Apabila dihubungi, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran secara pindahan wang atau deposit tunai dalam jumlah tertentu ke akaun suspek sekiranya ingin menuntut hadiah.

Selepas semua prosedur itu dipatuhi, mangsa menghubungi semula suspek untuk bertanyakan berkenaan hadiah mereka, namun gagal. Situasi sama dilakukan kepada beberapa mangsa lain sebelum suspek menukar nombor telefon yang digunakan.

“Sebenarnya, ada beberapa lagi kaedah lain digunakan suspek untuk menjalankan penipuan ini dan kejayaan mereka banyak didorong sifat tamak mangsa yang mahukan ganjaran wang tunai dalam sekelip mata.

“Masalahnya, agak sukar mengesan dalang sindiket ini kerana nombor telefon yang mereka gunakan adalah nombor dari negara luar seperti Indonesia dan Hong Kong, manakala akaun bank digunakan untuk urusan transaksi pula ada antaranya dimiliki individu yang tidak terbabit dengan sindiket, tetapi hanya mengambil ganjaran menggunakan nama mereka untuk kegunaan ahli sindiket,” katanya.

Beliau berkata, ada di kalangan pemilik akaun tidak mengetahui akaun banknya digunakan untuk tujuan jenayah kerana pada mulanya dimaklumkan akaun itu digunakan untuk tujuan transaksi wang tunai oleh warga asing.

“Ada antaranya penuntut kolej yang sedia membuka akaun untuk orang lain dengan mengambil sedikit ganjaran kerana beranggapan akaun mereka hanya akan digunakan sementara bagi urusan transaksi oleh warga asing yang sesekali berurusan di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terperangkap dengan penipuan berkenaan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah memberi keterangan diri atau nombor akaun bank sewenang-wenangnya kepada mereka yang tidak dikenali.


2/7/2007

No comments: