Sunday, July 1, 2007

Di Luar Lingkaran: Melayu memang mudah lupa

Oleh Johan Jaaffar

Sanggup buang warisan, budaya, tradisi bangsa selepas nikmati kejayaan

MUNGKIN benar pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu mudah lupa. Apakah dimaksudkan dengan perkataan ‘dilupakan’ boleh berbeza mengikut faham dan tafsiran masing-masing. Namun, kita harus menerima hakikat begitu mudahnya Melayu melupakan sejarah kerana mereka percaya sejarah itu bahan basi yang tidak penting. Mereka terlupa sejarah sentiasa berulang dan menghukum sesiapa yang alpa dan sombong.

Tentulah ada di kalangan kita percaya bahawa bangsa yang maju harus mengorak langkah ke hadapan tanpa perlu memandang ke belakang. Tetapi bangsa sedemikian tidak berpaksi pada apapun walaupun tradisi, sejarah atau tamadun. Sejarah membuktikan bangsa maju selalunya menggunakan kekuatan silam untuk menjana tenaga baru menghadapi cabaran masa depan.

Bangsa di Asia yang berjaya seperti orang Cina, Korea dan Jepun tidak pernah menafikan masa dan sejarah lalu. Malah, sebenarnya mereka bangga dibentuk sejarah dan warisan panjang serta tradisi silam yang gemilang. Mereka menghargai bahasa dan budaya sendiri serta tidak menafikan akar umbi kebudayaan dan kesenian membentuk citra bangsa mereka. Malah, kebanggaan terhadap warisan menjadikan mereka lebih kental dan waja.

Sayang sekali, orang Melayu terlalu rapuh keyakinan pada budaya sendiri. Malah, ada kecenderungan menyalahkan budaya dan warisan bagi setiap kelemahan bangsa. Ada mengatakan orang Melayu lemah kerana budaya kekampungan dan nilai tradisi mengekang. Mereka mengatakan sikap orang Melayu ‘defeatist’ dibentuk oleh nilai negatif dalam orang Melayu. Mereka menyalahkan orang Melayu gagal berniaga kerana bangsa itu tidak ada budaya berniaga yang panjang. Malah, ada mencari salah pada pantun, peribahasa dan cerita rakyat Melayu dalam mewajarkan semua kelemahan Melayu.

Mereka melihat apa saja nama dan labelnya Melayu sebagai lemah, mundur, tidak progresif malah berjiwa kecil. Pendeknya ‘Melayu’ itu senama dengan kegagalan. Lebih menyedihkan ada orang Melayu percaya bahawa hari ini menjadi Melayu sebenarnya sesuatu yang malang dan merugikan. Dalam sebuah forum terbuka seorang usahawan Melayu dilaporkan berkata, “Apa susah-susah nak mempertahankan kemelayuan? Asal tidak makan babi dan masih Islam, Melayulah kita.” Demikianlah prisma kemelayuan dilihat sesetengah orang Melayu sendiri. Tidak hairan jika ada orang malu menjadi Melayu di tempat dikenali sebagai Tanah Melayu ini.

Mungkin juga benarnya sedang berlaku penilaian di kalangan orang Melayu sendiri pada masa ini. Introspeksi atau muhasabah diri berlaku di tengah orang Melayu. Ia ada kaitannya dengan definisi kemelayuan itu sendiri serta pemahaman mengenai makna kejayaan hari ini. Kebijaksanaan semasa ialah orang Melayu tidak ada pilihan melainkan berjaya seperti orang lain. Maka, apabila orang Melayu terus gagal mencapai kejayaan ekonomi, usaha mencari punca kegagalan itu akan berlaku dengan hebatnya. Faktor kegagalan akan segera dikaitkan dengan nilai, sikap dan minda Melayu.

Hujah yang biasa kedengaran ialah minda Melayu masih belum dipersiapkan untuk maju atau perlunya berlaku revolusi mental mengubah orang Melayu. Hujah lain ialah orang Melayu masih belum berganjak daripada sikap lama dicorakkan tradisi. Lebih menarik lagi ialah pandangan bahawa minda Melayu senama dengan kekolotan, kejumudan dan kekampungan.

Memang ada baiknya perdebatan mengenai semua ini. Sekurang-kurangnya kita bersedia mencari kelemahan bangsa Melayu secara jujur. Sama ada rumusan akhirnya ialah budaya menjadikan orang Melayu lemah atau agama mengekang kemajuan sudah pasti menjadi isu penuh emosi. Mungkin ada pandangan lain bahawa pimpinan Melayu tidak telus, terlalu korup dan lupa diri hingga berlaku banyak kebocoran dan ketirisan dalam melaksanakan dasar membantu Melayu. Jika tidak masakan kerajaan dipimpin orang Melayu untuk membantu Melayu tidak berjaya menyelesaikan banyak masalah Melayu sehingga ini?

Saya tidak nampak logiknya membakar warisan dan budaya semata-mata kerana orang Melayu perlu maju dan berjaya. Saya tidak nampak sebab mengapa bahasa harus dipinggirkan atas nama kejayaan. Maka, banyak menanyakan apa salahnya bahasa Malaysia dikekalkan tanpa perlu mengetepikan semangat kemalaysiaan yang memberikan corak dan legitimasi pada bahasa itu selama ini?

Saya juga tidak melihat alasan mengapa adat dan budaya Melayu perlu dibuang demi membina kecemerlangan baru. Saya mengajak orang Melayu melihat ke belakang dalam sejarah dan budaya menjadikan mereka lebih kuat. Orang Jepun tidak pernah melupakan semangat Semurai untuk berjaya dan menakluk dunia. Orang Korea menjunjung warisan tanpa malu dan segan. Hari ini budaya popular Korea melanda dunia melalui filem, lagu dan permainan komputer.

Orang Melayu terlalu mudah melupakan sejarah bangsa sendiri. Orang Melayu sebenarnya sudah mempunyai kerajaan dan sistem pemerintahan terancang sejak ratusan tahun. Orang Melayu sudah berniaga sejak zaman awal kerajaan Chola. Orang Melayu sudah menjadi bangsa menghargai ilmu sejak zaman berzaman. Tidak usahlah dicari sebuah dua pantun dan peribahasa Melayu untuk menyimpulkan kelemahan orang Melayu. Khazanah kesusasteraan dan kesenian Melayu tidak usahlah dipertikaikan.

Janganlah dipersalahkan budaya orang Melayu kerana keengganan mereka berubah. Orang Melayu cukup bersedia berubah, tetapi mereka juga berwaspada. Agaknya kewaspadaan itulah mengekalkan identiti dan citra mereka, walaupun di bawah belenggu penjajahan selama beratus-ratus tahun. Lihat kuatnya iman orang Melayu. Pastilah ada sesuatu bersesuaian antara orang Melayu dengan Islam hinggakan Melayu dan Islam menjadi senama. Sekian lama di bawah penjajahanpun tidak boleh mengubah agama orang Melayu. Itu saja sudah membuktikan kentalnya pegangan orang Melayu. Itu belum lagi semangat orang Melayu menghadapi cabaran dan ancaman.

Kenapakah tidak dilihat semua ini secara positif? Sebaliknya banyak yang lebih selesa mengambil sikap menyalahkan orang Melayu dalam semua hal. Orang Melayu terlalu banyak diasak dengan kelemahan dikaitkan dengan budaya hingga mula percaya bahawa mereka lemah kerana Melayu. Untuk maju, berjaya dan kompetitif, ketepikan kemelayuan mereka.

Ada orang berjaya kerana dasar Melayu menguntungkan mereka selama ini mula percaya dasar itu tidak lagi relevan. Jenis manusia seperti ini semakin banyak. Orang inilah yang sebenarnya percaya mereka berjaya kerana berubah dan rela tercantas dari akar tradisi bangsa. Mereka lupa bahawa dasar pro-Melayu memungkinkan kejayaan itu sebenarnya bertolak dari teras kemelayuan yang tulen. Semangat Melayu itulah dijadikan lesen selama ini untuk menolong orang Melayu.

Mungkin ada orang percaya selepas berjaya, mereka tidak perlu menjadi Melayu lagi. Mereka melihat di sekeliling dan menyedari bahawa masih banyak daripada kalangan bangsa mereka yang mundur dan miskin. Mereka mula percaya bahawa mereka berjaya kerana terungkai daripada belenggu kemelayuan itu. Ada satu ungkapan tepat untuk manusia seperti ini, ‘Kacang lupakan kulit.’


1/7/2007

No comments: