Wednesday, July 4, 2007

Pelbagai budaya perkasa karya seni

Oleh Dr Zulkifli Mohamad

SENI persembahan di Malaysia sudah jauh melangkah, daripada persembahan drama dan tarian Melayu di istana untuk tontonan kerabat Diraja dan bangsawan, ke pentas bertaraf dunia di bandar raya Kuala Lumpur. Begitu juga persembahan tarian rakyat yang dihidangkan ketika musim menuai dan perayaan.

Malah banyak persembahan balet, muzikal, teater dan simponi muzik dari negara seperti China, Jepun, Korea, India, Turki serta negara Eropah dan Amerika Syarikat selain Kanada, Britain dan Australia diadakan di negara kita.

Kita sendiri sudah ada Dewan Filharmonik dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Menara Berkembar Petronas.

Seni persembahan kita menjadi terpinggir apabila pemerintahan kolonial British mengambilalih kuasa daripada Sultan ketika menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri Bukan Persekutuan. Banyak seni persembahan istana dan klasik berpindah tangan menjadi seni persembahan rakyat, malah banyak juga repertoir yang hilang begitu saja dalam abad ke-19.

Apabila kemerdekaan tercapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia terbentuk 16 September 1963, kita menjadi sebuah negara baru dengan komponen rakyat dan budaya yang baru, berbeza dengan zaman Kesultanan Melayu.

Kita bukan lagi menjadi sebuah negara ‘mono-culture’ (satu bangsa), kerana inginkan kemerdekaan kita terpaksa berubah menjadi sebuah negara berbilang bangsa. Maka itulah lahirnya slogan muhibah yang melaungkan kehidupan masyarakat berbilang bangsa – Pribumi (Melayu, Orang Asli, Dayak, Kadazan dan sebagainya), Cina, India dan lain-lain.

Kini selepas hampir 50 tahun merdeka, kita sudah boleh melabelkan diri kita sebagai bangsa Malaysia dan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan, kini sudah dipanggil bahasa Malaysia, bahasa rasmi negara.

Kongres Kebudayaan pada 1970 yang menggariskan prosedur kebudayaan di Malaysia dan seterusnya melahirkan Dasar Kebudayaan Negara, tercetus sejurus selepas peristiwa pahit 13 Mei 1969, apabila orang Melayu menuntut hak budayanya.

Ramai seniman kita terpanggil melahirkan karya Malaysia, antaranya Seniman Negara Usman Awang dalam sajaknya. Begitu juga dengan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee yang banyak membawa isu muhibah ke dalam filemnya. Lim Swee Tin, pemenang anugerah ‘SEA Write Award’ begitu ghairah menulis karya puisinya di dalam bahasa Malaysia.

Apabila negara menobatkan ‘Tahun Melawat Malaysia 2002’ dan melancarkan kempen promosi ‘Malaysia Truly Asia’, ia bukan sekadar mengetengahkan Malaysia ke negara luar malah bagi ‘menjual’ Malaysia sebagai destinasi menarik dan penuh dengan pelbagai budaya terbilang dunia seperti India dan Cina selain Melayu dan pribumi lain.

Sekali gus kempen itu adalah kempen untuk memanggil kita semua, rakyat Malaysia, untuk sama-sama berbangga dengan kewujudan kita di sini. Begitu juga dengan konsep persembahan ‘Citrawarna’, ia sebenarnya sebuah konsep untuk memperjuangkan bangsa Malaysia di dalam satu persembahan kebudayaan.

Kita di Malaysia, selepas 50 tahun Merdeka sudah terbuka bukan hanya menghadirkan ruang pementasan yang diuruskan oleh pihak kerajaan seperti Istana Budaya, Panggung Pusat Penerangan Pelancongan (MTC) Jalan Ampang, Panggung Bandaraya, Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Panggung Taman Budaya Kuala Lumpur dan ruang di luar Kuala Lumpur, kita juga mempunyai ruang disediakan pihak korporat seperti Petronas, walaupun ia hanya untuk kegunaan Orkestra Filharmonik Malaysia.

Tidak kurang juga ruang seperti Actor Studio, Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac) dan yang terbaru bangunan Annexe di Pasar Seni dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang juga diusahakan pihak korporat.

Selain itu kita mempunyai ruang persendirian seperti Sutra House yang dikendalikan oleh Ramli Ibrahim sendiri serta ruang persatuan seperti Temple of Fine Arts dan Dewan Perniagaan Cina.

Istana Budaya sendiri misalnya, cuba mengetengahkan pelbagai bentuk seni persembahan di Malaysia, dari konsert muzik pop, muzik klasikal barat, etnik Malaysia kepada muzikal, drama, komedi dan tari.

Malah dalam beberapa tahun ini Istana Budaya mementaskan teater Puteri Hang Li Po yang menggabungkan dialog dalam bahasa Melayu dan Mandarin, Spellbound yang menampilkan keindahan tarian klasik India, Odissi, diterbitkan oleh Sutra Dance Company dan Aruvar, drama Tamil yang pertama kali dipentaskan di Istana Budaya.

Baru-baru ini kita menyaksikan sebuah lagi persembahan muzikal berdasarkan inspirasi tokoh Cina di Malaysia, Tan Cheng Lock. Puteri Gunung Ledang yang ditampilkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina pula jelas memaparkan kekayaan budaya di dalam budaya besar Melayu itu sendiri, budaya Jawa yang sudah sebati dengan masyarakat Melayu-Jawa di Malaysia.

Persembahan tari peragaan Telepuk di Muzium Alam Shah baru-baru ini pula jelas memperkasakan budaya Melayu dengan melihat budaya yang ada di Malaysia dan menampilkan budaya telepuk yang dulunya dibawa pedagang dan pemimpin Bugis pada abad ke-18.

Sebagai sebuah negara berbilang bangsa, kita harus akur dengan anugerah yang masyarakat kita mampu bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris, maka lahirlah bentuk teater dalam pelbagai bahasa – bahasa Inggeris, Melayu, India, Cina serta dialek lain.

Mak Yong dan wayang kulit sendiri dituturkan di dalam dialek Kelantan, Mek Mulong di dalam dialek Kedah, Randai di dalam dialek Minang. Malah kita di Malaysia juga ada Opera Cina berdialek Hokkien dan Teow Choo. Kuala Lumpur Performing Arts Centre di Sentul juga sudah menampilkan teater kontemporari di dalam dialek Kantonis.

Mungkin agak sukar untuk menampilkan teater di dalam pelbagai bahasa, tetapi hakikatnya teater sebegini sudah pernah ditampilkan di Malaysia dan ia boleh menjadi salah satu alternatif untuk mempelbagaikan bentuk dan bahasa.

Bagaimanapun, kita juga boleh terus memperjuangkan teater dalam satu bahasa, iaitu bahasa Malaysia atau juga bahasa antarabangsa kita, bahasa Inggeris. Malah kita boleh terus membincangkan isu kepelbagaian budaya dan agama serta melahirkan bentuk baru di dalam dunia teater.

Kita sebenarnya sudah ada banyak contoh bentuk teater pelbagai budaya di Eropah dan Amerika. Mungkin kita boleh menggabungkan kepelbagaian kita di dalam teater gerak dan tari, yang tidak banyak menuturkan kata-kata.

Penulis adalah pensyarah Pengurusan Seni Persembahan di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya. Beliau aktif berkarya bersama kumpulan teater tarinya, Svarnabhumi Studio.

No comments: