Tuesday, July 3, 2007

Budaya mesra pelajar IPT elak kes buli

SELAMAT datang kepada penghuni baru kampus universiti di seluruh negara bermula kelmarin. Dalam minggu suai kenal, mereka akan didedahkan pelbagai perkara positif untuk melahirkan insan berilmu. Bagaimanapun, ada ketikanya mereka turut terperangkap dan tidak terlepas dengan tindakan keterlaluan pelajar senior.

Dalam hal ini, budaya ‘raging’ di kalangan mahasiswa yang baru melangkah masuk ke alam universiti sudah tidak relevan. Budaya yang lebih berbentuk legitimasi dan kuku besi ini dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai diguna pakai dalam mendidik kumpulan pelajar baru.

Jika dulu, budaya membuli atau meraging dikatakan perlu untuk menundukkan ego kumpulan remaja dan belia, sekarang, pendekatan bercorak lebih mesra, tetapi tegas dilihat sebagai alternatif.

Umum mengetahui bahawa budaya keras yang diamalkan warga kampus terdahulu mempunyai tujuan murni. Contohnya, mereka inginkan pelajar baru ini menghormati sempadan senioriti dalam kehidupan mereka di kampus.

Namun begitu, ramai tidak dapat memahami maksud murni itu. Lantas, mereka mengambil mudah budaya keras ini dan mengamalkannya secara membabi buta. Akibatnya, pelajar baru hilang rasa hormat kepada senior. Perkara ini kerap berlaku kebelakangan ini, yang akhirnya mengakibatkan pertembungan antara senior dengan junior.

Justeru, suatu pendekatan baru perlu dilaksanakan. Pelajar baru ini adalah daripada kalangan mereka yang baru melangkah ke alam dewasa, iaitu zaman di mana mereka lebih suka pendekatan berkawan, bukan dikawal. Pendekatan yang berbentuk ‘pujukan rasional’ menjadi opsyen dalam mengurus golongan ini. Pendekatan ini adalah pendekatan lembut dimulakan dengan pembentukan hubungan baik, ‘ice-breaking’, dan akhir sekali ialah pujukan rasional.

Terma ‘pujukan rasional’ membawa maksud, seseorang pemimpin itu memujuk pengikutnya dengan memberikan sebab dan akibat sesuatu peraturan itu dikenakan. Daripada pengalaman kami, pendekatan ini memberikan impak lebih menyeluruh demi menjayakan proses pendidikan jangka masa panjang.

Hubungan yang baik dapat dijalinkan apabila pengendali mengenali kumpulan sasarnya. Secara umum, kumpulan belia masa kini majoritinya lebih gemarkan cara hidup kasual. Suatu pendekatan lebih kasual diperlukan untuk mendekati golongan ini. Pengendali program orientasi perlu mengambil kira mood pelajar ketika mengendalikan program ini.

Namun, mereka juga harus sentiasa ingat objektif dan prinsip, iaitu untuk memimpin pelajar baru mengenali dunia baru. Sempadan kebebasan perlu diperjelas kepada pelajar baru ini dalam bentuk nasihat. Inilah yang dikatakan kebebasan terpimpin; mereka bebas untuk bersuara dan melakukan apa saja, asalkan mereka tidak melepasi batasan tertentu.

Senyum dan Salam (Smile and Salam) yang digunakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan menjadi titik-tolak kepada persaudaraan berpanjangan antara junior dengan senior. Semua ahli jawatan kuasa minggu orientasi diminta mengukir senyuman dan menyebarkan salam apabila bertemu pelajar baru.

Akhirnya, kekuatan ukhuwah dan persaudaraan dapat dirasai pelajar baru dan proses mendidik akan dapat diteruskan walaupun minggu orientasi berakhir. Persaudaraan yang kukuh bermula daripada keterbukaan. Itulah ramuan berjayanya program orientasi di sesebuah pusat pengajian tinggi.

AHMAD SAFWAN MOHAMAD,
Pengurus Program Taaruf Week 2007/08,
UIAM Kampus Kuantan.


3/7/2007

No comments: