Tuesday, July 3, 2007

Masalah dana ILKS perlu segera ditangani

Selain kesan terhadap pengusaha ILKS Melayu yang kini berhadapan masalah kemungkinan gulung tikar, kemelut itu turut mencacatkan peluang pelajar meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran kerana kegagalan mendapatkan pinjaman.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak ILKS Melayu, Nordin Abdul Malek, berkata daripada 100 ILKS yang bertahan, hanya 50 saja masih aktif dengan bantuan pembiayaan sokongan bersifat sementara.

Justeru katanya, jika perkara yang sudah diketengahkan sejak sekian lama itu terus dipandang sambil lewa oleh pihak berkaitan, nasib usahawan Melayu yang menyumbang dalam bidang pendidikan akan terus samar kerana tiada jaminan jelas.

“Apabila isu ini tidak selesai dalam tempoh tujuh tahun, daripada 1,800 usahawan Bumiputera yang direkodkan pada 2003, kini hanya tinggal 700 dan daripada jumlah itu, 100 ILKS saja yang masih bertahan. ILKS yang aktif pula hanya 50.

“Kami difahamkan PTPK menggantikan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang dibekukan pada 2003, sudah diluluskan sejak 2004 dan sepatutnya beroperasi secara berkesan.

Tahun lalu, apabila Jawatankuasa Bertindak ILKS Melayu menghantar memorandum meminta PTPK dilaksanakan, ia akan ditangani segera tetapi kini isu dana tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang bertanyakan pinjaman untuk membiayai pengajian anak mereka akan sedih jika dimaklumkan sijil kemahiran ditawarkan tidak disertai kemudahan pinjaman.

Katanya, ILKS yang ditubuhkan sebagai pelengkap kepada institusi latihan kemahiran awam tidak sepatutnya dibebankan dengan masalah dana keranan mereka wujud untuk membantu kerajaan melahirkan modal insan yang mahir.

Pembabitan usahawan Bumiputera dalam bidang pendidikan kemahiran mula ketara pada 1996 apabila kerajaan mengenalkan aliran pengajian tinggi swasta bertujuan menubuhkan kolej untuk jangka panjang.

Bagaimanapun, usaha itu mungkin terhenti tengah jalan apabila ILKS yang dibebani masalah mendapatkan peruntukan akhirnya satu persatu menutup pintu.

Bagi sesetengah pengusaha ILKS pula, bukan saja terpaksa mengambil keputusan gulung tikar, malah lebih malang lagi jika turut menanggung banyak hutang.

Disebabkan kemelut berterusan, bidang pendidikan kemahiran kehilangan ramai tokoh guru berwibawa yang sanggup meletak jawatan sebagai pendidik di sekolah kerajaan hanya ntuk mendidik anak bangsa dalam bidang kemahiran.


3/7/2007

No comments: