Wednesday, July 4, 2007

Bank Negara patut wujud badan bekal maklumat kredit

KHIDMAT syarikat Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) yang digunakan oleh bank dan syarikat kewangan dalam menentukan status kewangan peminjam menimbulkan keraguan orang ramai ekoran laporan hangat mengenainya sejak akhir-akhir ini. Memang tidak siapa yang suka maklumat peribadi mereka khususnya berkaitan dengan kewangan, dikumpul dan disimpan pihak ketiga. Bagaimanapun, kerana ia sudah menjadi amalan institusi kewangan, bakal peminjam tidak boleh berbuat apa-apa sehingga ia ditimbulkan baru-baru ini, apabila ia menjejaskan peluang orang ramai mendapatkan pinjaman kerana rekod lamanya yang belum dikemas kini. Kita hairan kenapa pihak bank menggunakan CTOS sedangkan ia boleh memperoleh maklumat seumpamanya daripada Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) yang lebih tepat dan sentiasa dikemas kini dengan pengawasan Bank Negara. Pengerusi Persatuan Bank Dalam Malaysia (ABM), Datuk Seri Hamidy Hafiz mengaku bahawa bank tempatan menggunakan khidmat CTOS untuk mendapatkan maklumat latar belakang individu dan syarikat, tetapi tidak menggunakan maklumat firma berkenaan sebagai kriteria utama sebelum meluluskan permohonan pinjaman. Khidmat berkenaan digunakan bagi mendapatkan maklumat sama ada pemohon pernah diambil tindakan saman sivil, muflis, petisyen dan bagi mendapatkan latar belakang pengarah syarikat.

Setakat ini CTOS mempunyai 13 juta maklumat membabitkan 780,000 individu, sebahagian besarnya Melayu dan menawarkan perkhidmatan kepada institusi perbankan bagi tujuan pengesahan status peminjam dan sebagainya dengan bayaran tertentu. Syarikat itu dilaporkan beroperasi tanpa mengemukakan laporan kewangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepanjang 10 tahun lalu. Maklumat peribadi dan rekod mengenai status kewangan seseorang, seharusnya berada di tangan pihak berkuasa bukan syarikat persendirian yang mungkin terdedah kepada penyalahgunaan. Kita amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mencadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan sebuah badan pembekal maklumat kewangan berikutan kontroversi perkhidmatan maklumat kredit dikeluarkan CTOS. Sudah pasti orang ramai lebih yakin apabila pihak BNM berbuat demikian dan bank pusat itu memang berkeupayaan. Kita tidak mahu berlaku sesuatu tidak diingini jika perkhidmatan status kewangan individu seperti ditawarkan CTOS dibiarkan tanpa kawalan, kerana ia boleh menimbulkan aduan daripada individu teraniaya kerana maklumat diberikan tidak cukup dan tidak dikemas kini. Dari segi etikanya, kurang sesuai orang ketiga atau mana-mana badan di luar pihak berkuasa, mengendalikan ‘kerja mengintip dan sulit’ seperti itu.

Kita berpendapat CTOS tidak patut menjadi penghalang atau mencengkam seseorang daripada mendapat pinjaman hanya kerana maklumat tidak tepat yang disalurkan syarikat berkenaan. Malah, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap bank yang masih menjadikan CTOS sebagai rujukan status kewangan. Kita difahamkan kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap CTOS kerana melanggar tujuh akta, tetapi tidak berbuat demikian bagi memberinya peluang mengemaskinikan 13 juta maklumat disimpannya sebelum dikenakan tindakan. Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan orang ramai, sekiranya apa dilakukan syarikat berkenaan menyalahi peraturan atau undang-undang dan dilihat sebagai mencampuri urusan peribadi individu, adalah wajar tindakan tegas diambil. Ia penting bagi memastikan tiada pihak begitu mudah memperdagangkan maklumat peribadi seseorang, apa lagi jika ia tidak betul.

No comments: