Wednesday, July 4, 2007

Aspirasi : Politik kampus bentuk modal insan

Bersama Radzi Latif
radzilatif@yahoo.com

PENDAFTARAN pelajar di sebahagian daripada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk Universiti Malaysia Kelantan dengan 400 pelajar barunya, sudah bermula hujung minggu lalu. Pendaftaran pelajar baru dan lama untuk semester kali ini berterusan minggu depan sehingga tempoh pendaftaran berakhir.

Bagi mereka yang belum pernah berpisah dengan keluarga, ini pengalaman baru dalam hidup. Dengan menjejakkan kaki ke menara gading, maka termakbul harapan keluarga melihat mereka menuju puncak kejayaan. Tidak sia-sia mereka menelaah buku siang dan malam untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

Bagi mereka yang tidak mendapat tempat di IPTA atas sebab tertentu, tidak bermakna pintu meneruskan pelajaran turut tertutup rapat. Selain banyak pusat pengajian bertaraf institusi dan kolej yang boleh dijadikan tempat sandaran, pelajar juga boleh meneruskan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Disebabkan ada kosnya, ia memerlukan pengorbanan ibu bapa, bagi keluarga mampu, ia tidak menjadi masalah. Malah, ramai juga menghantar anak di luar negara.

Di kampus, tidak kiralah universiti mana ditempatkan, pelajar akan menempuh hidup baru. Di kampus jugalah akan menguji tahap ketabahan hidup, selain menghadapi pelajaran dan tugasan diberikan pensyarah dan tenaga pengajar. Selain menimba pengalaman dalam hubungan sosial dengan kawan yang berbeza latar belakang, mereka juga tidak lepas daripada menghadapi realiti politik kampus.

Walaupun ia dianggap sesetengah pihak sebagai kegiatan bukan akademik, ia juga satu latihan persediaan untuk menghadapi dunia luar kelak. Kegiatan pelajar ini menolak andaian terhadap kongkongan yang dikatakan berakar umbi kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Biasanya, dalam perdebatan atau perbincangan membabitkan pihak luar dengan masyarakat kampus, isu politik pelajar sering mendapat perhatian. Masalah politik di kampus universiti, terutama di IPTA bukan perkara baru. Ia berakar umbi sejak berpuluh-puluh tahun hinggakan timbul pelbagai slogan menggambarkan ‘suara’ atau ‘kuasa’ pelajar.

Ada juga pelajar menganggap bahawa mereka kumpulan elit dalam masyarakat, sedangkan hakikatnya mereka masih bergelar pelajar. Semua ini berlaku kerana pelajar mahu dilihat peka dan matang kepada setiap perkembangan semasa yang membabitkan isu nasional dan antarabangsa. Di Malaysia, pelajar digalakan meletakkan keutamaan kepada soal pelajaran melebihi perkara lain. Namun, tidak ada larangan untuk mereka mengambil bahagian dalam ‘politik kampus’, asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Kecemerlangan mereka diukur daripada keputusan peperiksaan, bukan pembabitan dalam kegiatan kampus semata-mata.

Yang nyata, bagi kebanyakan pelajar, sebaik menamatkan pengajian, mereka sudah bertaraf pengundi apabila usia mereka melebihi 21 tahun. Berkemungkinan, larangan kepada mereka untuk bergiat dalam politik kampus akan menyebabkan mereka tidak berminat dalam kegiatan politik. Apa diharapkan, ketika di kampus, pembabitan pelajar mestilah berpada-pada. Aliran pemikiran pula mestilah untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kecenderungan pelajar yang menyokong aspirasi kerajaan adalah satu keadaan yang amat menggalakkan. Boleh dikatakan sejak 2000, pemikiran pelajar agak rasional, condong kepada gerakan prokerajaan dan kurang memihak kepada gerakan penentangan. Di IPTS, keadaan agak berbeza kerana pelajar tidak begitu berminat dalam isu begini.

Kemungkinannya, mereka terpaksa menumpukan masa dan perhatian kepada pelajaran kerana menyedari kos ditanggung dan dibayar keluarga untuk membolehkan mereka belajar di IPTS. Mereka terpaksa menanggung pembiayaan pengajian sendiri. Aliran politik kampus yang condong kepada aliran pemikiran prokerajaan semakin perkasa sejak penubuhan Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan pada 2001 yang kini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis dirancang bermesyuarat dua kali setahun dan menerusi wadah itu, pemimpin pelajar dapat menyuarakan pandangan dan pendapat secara harmoni, jujur dan dengan cara tidak berkonfrantasi. Tradisi itu kini sudah dibudayakan pemimpin kerajaan. Setiap pemimpin kerajaan kini mula ‘mesra siswa’ baik dalam negeri mahu pun di luar negara. Hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah melupakan pelajar di luar negara, begitu juga timbalannya. Setiap kali ke luar negara, pertemuan dengan pelajar Malaysia pasti diselitkan dalam program lawatan. Malah, mereka memberi masa secukupnya untuk mendengar luahan perasaan pelajar menerusi dialog.

Di dalam negara, interaksi lebih kerap dengan pelajar institusi pengajian tinggi tidak diabaikan bahkan pemimpin kerajaan sering memberi keutamaan untuk menerima jemputan persatuan mahasiswa yang inginkan kehadiran kepemimpinan kerajaan dalam majlis dialog, forum, khemah kerja, operasi khidmat masyarakat (opkim) yang mereka anjurkan.

Politik kampus berjaya menghasilkan ramai graduan berdaya kepemimpinan dan prihatin terhadap isu – isu kemasyarakatan. Majikan swasta dan jabatan kerajaan sering memberi pandangan positif terhadap kualiti dan prestasi eksekutif mereka yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa. Rata-rata mereka mempunyai inisiatif tinggi, kreatif, tidak mudah putus asa bila berdepan masalah, mahir memberi motivasi kepada rakan sepejabat, berkorban masa cuti untuk menyiapkan kerja, memiliki keyakinan diri serta dapat berkomunikasi dengan baik.

Tidak hairanlah apabila disemak latar belakang ahli politik yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa, mereka itu terbukti amat prihatin terhadap isu rakyat dan punya semangat pengorbanan yang tinggi membela nasib pengundinya. Graduan yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa yang berkecimpung dalam politik menginginkan satu budaya keterbukaan di dalam parti politik yang ingin mereka sertai sebagai ahli. Graduan yang aktif di dalam politik kampus khasnya yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa adalah satu kelompok warga muda yang amat berharga kepada negara. Mereka aset yang boleh dimasukkan di dalam tangki bakal pemimpin pelapis dalam politik, khidmat awam dan sektor swasta.

Amat baik sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi di bawah pimpinan Datuk Mustapa Mohamed mula mengumpul bank maklumat berkaitan pemimpin mahasiswa serta memantau kemajuan mereka di dalam kampus, menyediakan satu khidmat sokongan khas untuk mereka memasuki pasaran kerja di dalam sektor sektor strategik yang memerlukan ketrampilan kepemimpinan dengan harapan potensi mereka tidak dibazir atau disia-siakan. Pengwujudan Alumni Kepemimpinan Siswa juga boleh difikirkan bagi memastikan kesinambungan tradisi membela rakyat terus dipraktikkan setiap ahli alumni menerusi kerjasama erat dengan kepemimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

No comments: