Tuesday, July 3, 2007

Suara Orang Muda: Kisah Mariam rahmat menjelang 50 tahun merdeka

Bersama Noraini Ahmad
norainiputeri@yahoo.com


KISAH Mariam Johari, 86, atau nama Koreanya, Kim Soo Ae, yang ‘hilang identiti diri’ lebih 60 tahun, terdampar di negara orang dan terpisah dengan anak dan sanak saudara sejak 1943, cukup menyayat hati seluruh warga Malaysia.

Bayangkanlah warga emas ini tidak pernah bertutur dalam bahasa Malaysia sejak mengikuti suami Koreanya, Cho Se Won balik ke negara asal pada 1946, selepas dilarikan tentera Jepun sejak 1943, sehingga tidak boleh lagi menuturkan bahasa ibunda kecuali satu dua patah perkataan saja.

Kehilangannya sebelum merdeka, terpisah sejak 1943 dengan tiga anaknya sehingga menyebabkan keluarganya di Malaysia menyangka dia sudah meninggal dunia, namun akhirnya berjaya ditemui semula ketika negara mencapai usia kemerdekaan ke-50, menyelitkan banyak pengajaran dan iktibar di sebalik nikmat kemerdekaan.

Warga emas kelahiran Plentong, Johor Bahru ini, dilaporkan akhbar ini tidak dapat pulang ke Malaysia kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dengan bantuan Korea Boradcasting System (KBS) serta kumpulan akhbar The New Straits Times (M) Bhd (NSTP) akhirnya, beliau berjaya mengesan kembali keluarganya.

Kisah menyayat hati warga tua ini turut menyebabkan Pergerakan Puteri Umno terpanggil untuk tampil membantu memudahkan tiga anaknya, Ramlah, 71, Jalani, 68, dan Jamnah, 66, bertemu ibu mereka, dengan menguruskan dari segi imigresen termasuk membuat pasport untuk mereka terbang ke Korea Selatan dan kini Puteri Umno juga berusaha membantu menguruskan penerbangan mereka ke sana.

Sayu benar, tidak pernah terlintas di fikiran tiga anaknya bahawa ibu mereka yang tidak pernah mereka tatap wajahnya sejak 61 tahun lalu, sebenarnya masih hidup di negara orang. Syukurlah kerana rahmat kemerdekaan akhirnya menemukan mereka kembali, berkat adanya sistem teknologi maklumat dan komunikasi, mereka dapat dipertemukan ketika negara menjangkau usia kemerdekaan ke-50.

Kita sendiri tidak tahu penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dilalui Mariam ketika dilarikan tentera Jepun pada 1943, sebelum dia memutuskan mengikuti suami Koreanya ke negara berkenaan pada 1946 sehingga beliau akhirnya ‘hilang identiti diri’ – terpaksa melupakan asal usul, bangsa dan bahasa pertuturan, demi membolehkan diri tidak terasing dan terpinggir di negara orang.

Kerana penjajahan, derita membelenggu kehidupan Mariam dan memaksa beliau kehilangan anak, sanak saudara dan negara kelahirannya dalam tempoh waktu cukup lama. Alhamdulillah, kerana Allah memanjangkan usianya, beliau masih berkesempatan menemui kembali anaknya yang sudah terpisah sekian lama.

Kita sendiri tidak boleh membayangkan betapa mundur dan payahnya keadaan di Tanah Melayu, 61 tahun lalu, yang dipenuhi hutan rimba dan pokok getah, tanpa kemudahan telefon, jauh sekali sistem infrastruktur dan komunikasi seperti sekarang.

Ketika berusia 22 tahun, Mariam dilarikan tentera Jepun, suaminya hilang dibawa Jepun, beliau kemudian terpaksa meninggalkan tiga anaknya untuk mengikuti suami barunya ke Korea. Namun sejak memasuki Korea Selatan menerusi Pelabuhan Busan pada 10 Mei 1946, beliau gagal pulang ke tanah air kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Kata orang, kasih ibu membawa ke syurga. Kerana kasih ibulah, Mariam memberanikan diri menghubungi KBS untuk mendapatkan bantuan mencari tiga anaknya sehingga wakil agensi itu datang ke negara ini, pergi ke tempat kelahiran Mariam di Johor Bahru dan dengan bantuan NSTP tiga anaknya berjaya dikesan.

KBS merancang menerbangkan tiga anaknya ke Seoul pada 18 Julai ini, selain turut merancang membawa Mariam pulang ke Malaysia untuk menyambut hari kemerdekaan negara ke-50 pada 31 Ogos nanti.

Mengambil iktibar daripada apa yang menimpa Mariam dan keluarganya, kita sesungguhnya amat bertuah kerana begitu banyak nikmat kemerdekaan yang kita kecapi sejak 50 tahun merdeka. Mungkin bagi kebanyakan generasi pasca merdeka, kita tidak sedar akan nikmat ini kerana celik saja mata semuanya sudah dibangunkan. Namun, hakikatnya negara kita bermula dari tahap paling bawah. Hari ini kemudahan infrastruktur kita setanding dengan negara maju. Terima kasih kepada pemimpin kita terdahulu yang membuka jalan kegemilangan ini.

Keperitan kisah Mariam seharusnya membuka pintu hati dan minda kita untuk tidak membiarkan diri kita dijajah sekali lagi. Banyak benar dugaan dan cabaran yang mendepani kita pada hari ini dan mungkin banyak lagi bakal kita hadapi pada masa depan, yang boleh menyebabkan kita terpesong jauh, kalau tidak berhati-hati.

Penjajahan dalam bentuk minda, penyebaran dakyah dan ajaran sesat, pengaruh negatif kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dunia tanpa sempadan, ancaman dari dalam dan luar yang kita nampak serta tidak nampak, malah bermacam lagi, semuanya perlu kita tangani sebaik mungkin supaya apa yang kita kendong pada hari ini tidak akan keciciran.

Jangan sekali-kali kita membenarkan negara kita dijajah sekali lagi, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita harus mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi selama ini sebaik mungkin.

Kita harus menyokong dan mendukung apa saja usaha yang dilaksanakan kerajaan demi mempertahan dan mengisi kemerdekaan yang membolehkan Malaysia mencapai tahap kemajuan seperti sekarang.

Hargailah kebebasan dan kemerdekaan yang kita kecapi, demi anak cucu kita kemudian hari. Semoga Allah sentiasa memelihara dan merahmati negara kita, bumi Malaysia yang tercinta.

Datuk Noraini Ahmad adalah Ketua Puteri Umno Malaysia


3/7/2007

No comments: