Wednesday, July 4, 2007

Interaksi : Kelemahan peraturan pantau CTOS perlu diatasi

Bersama M Thillinadan
thilly@bharian.com.my

SEJAK isu membabitkan CTOS Sdn Bhd dipaparkan, ramai pembaca menghubungi akhbar ini untuk menceritakan pengalaman pahit dan rintihan masing-masing dengan mendakwa menjadi ‘mangsa’ agensi itu.

Seorang pembaca memaklumkan nama beliau kini terperangkap dalam sistem CTOS. Beliau mendakwa menjadi penjamin kepada seorang rakan ketika membuat pinjaman dari sebuah bank. Selepas rakannya gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan, namanya sebagai penjamin disenaraikan dalam CTOS. Selepas beberapa tahun membayar hutang rakannya berjumlah puluhan ribu ringgit, beliau memohon kepada CTOS untuk ‘membersihkan’ namanya dengan menghantar salinan surat pelepasan oleh bank sebagai bukti penyelesaian hutang berkenaan.

Bagaimanapun, CTOS enggan berbuat demikian, walaupun statusnya dalam sistem agensi itu dikemas kini sebagai ‘settled’. Akibat keengganan agensi itu mengeluarkan namanya, beliau mendakwa kini menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman.

Beliau menyoal: “Apa guna saya bersusah membayar balik pinjaman itu, tetapi nama saya masih disenarai hitam CTOS”. Luahan perasaan beliau antara ratusan diterima akhbar, Jabatan Insolvensi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas, sejak kebelakangan ini.

Ada juga yang menyoal mengapa ia dibenarkan beroperasi jika kerajaan tidak pernah memberi kebenaran kepada CTOS menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi kewangan.

Malah, Kayveas berkata, kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada syarikat itu untuk menjadi ejen carian dan menyimpan maklumat peribadi orang ramai. Jika betul CTOS tidak diberi lesen menyimpan maklumat peribadi seseorang, bukankah tindakan mereka menyalahi undang-undang, mengapa pula tiada tindakan diambil selama ini.

Antara aduan diterima mengenai syarikat itu ialah didakwa menyenaraihitamkan peminjam berdasarkan sumber tidak telus, selain tidak mengemas kini maklumat mereka kerana dikatakan tidak mempunyai mekanisme berbuat demikian. Akibatnya, seperti pemanggil di atas, ramai mendakwa menjadi mangsa, kerana tidak dapat membuat pinjaman kewangan kerana nama masih disenaraihitamkan, walaupun selepas menyelesaikan hutang.

Kayveas yang mendakwa menerima lebih 400 aduan sejak isu CTOS timbul minggu lalu, kini menjadikan CTOS sebagai perjuangan peribadinya dengan alasan mahu menyelamatkan ‘mangsa’ syarikat itu. Malah, beliau mendakwa operasi syarikat itu menyalahi Perlembagaan, mencabuli hak asasi rakyat dan mengganggu kehidupan orang ramai, selain dikatakan menyalahi tujuh undang-undang negara. Berikutan itu, beliau mahu CTOS menghentikan operasinya serta-merta.

Kayveas juga mendakwa CTOS tidak menghantar laporan kewangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepanjang tempoh 10 tahun lalu, selepas kali terakhir pada 1997 dengan menyatakan memperoleh pendapatan RM1.2 juta.

Bagaimanapun, CTOS beroperasi lebih 17 tahun tidak bercadang menyerah diri, malah sedia mengheret Kayveas ke mahkamah jika perlu membersihkan namanya dan membolehkan operasinya diteruskan.

Ketua Eksekutif CTOS, Chung Tze Keong, mencabar Kayveas menyenaraikan bukti kesalahan didakwa dilakukannya. CTOS mendakwa mereka bukan sistem senarai hitam seperti didakwa kebanyakan pihak, tetapi sistem maklumat rujukan atau maklumat pertama atau arkib untuk pihak itu menilai keupayaan dan tahap risiko pelanggan atau bakal pelanggan dengan membuat rujukan dan siasatan tambahan.

Mereka mendakwa hanya beroperasi untuk membantu pelanggan mengenali bakal pelanggan. Mereka mendakwa mengumpul maklumat seseorang daripada sumber awam seperti berita atau iklan akhbar dan warta kerajaan yang dianggap mereka sebagai telus dan boleh dipercayai serta bukan dengar cakap.

CTOS juga mendakwa tidak pernah membuat rating, penilaian, integriti, perwatakan atau memberi pendapat, mengenai bakal peminjam, tetapi maklumat mengenai sejarah kewangan seseorang berdasarkan pengumpulan mereka dan terpulang kepada pelanggan membuat penyiasatan sebelum meluluskan pinjaman.

Pelanggan utama CTOS ialah bank, syarikat kewangan, firma sekuriti, syarikat perdagangan, peniaga, syarikat insurans, syarikat kad kredit dan kad caj, selain firma guaman. Tujuannya untuk mengetahui status kewangan bakal pelanggan mereka sebelum mengambil risiko berurus niaga dengan orang berkenaan.

Apabila aduan ramai dibawa kepada perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau turut bimbang tindakan CTOS akan menjadi penghalang atau mencengkam seseorang daripada mendapatkan pinjaman hanya kerana maklumat tidak tepat disalurkan mereka.

Walaupun, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengakui tidak bergantung seratus peratus kepada maklumat CTOS, hakikatnya mereka pelanggan utama agensi itu. Walaupun CTOS hanya memberi maklumat kepada bank dan terpulang kepada institusi itu membuat siasatan tambahan, hakikatnya juga sebaik mengetahui nama bakal peminjam disenarai dalam CTOS, mereka menutup failnya.

Sebelum keadaan bertambah buruk, adalah disarankan pihak Bank Negara Malaysia mengambil ikhtiar membetulkan keadaan, tidak semestinya menutup operasi CTOS, tetapi boleh membetulkan kelemahannya jika ada supaya masyarakat lebih yakin dan tidak menjadi mangsa.

Penulis ialah Pengarang Berita, Berita Harian

No comments: