Thursday, July 5, 2007

Buta huruf kekang kemajuan Melayu Nusantara

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

TIGA perkara utama yang dihadapi umat Melayu Islam di seluruh dunia pada ketika ini ialah kemiskinan, buta huruf dan juga kurang ilmu pengetahuan. Usaha untuk menyatu serta mengembalikan semula kegemilangan 300 juta umat terbabit adalah menerusi pelbagai kegiatan yang wajar diberi sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketiga-tiga elemen negatif itu juga perlu ditangani sebaik mungkin oleh masyarakat Melayu Islam di seluruh dunia dalam usaha meningkatkan semula imej masyarakat itu di tengah era globalisasi dunia sekarang supaya tidak lagi ditindas atau ditekan bangsa asing.

Sehubungan itu, Sekretariat DMDI yang menganjurkan Seminar dan Lokakarya Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bertemakan 'Kegemilangan Melayu Sebagai Teras Pembangunan Tamadun di Kepulauan Riau' di Tanjung Pinang, Indonesia baru-baru ini dilihat mampu meningkatkan taraf hidup dan ketamadunan Melayu dan Islam yang sudah wujud sekian lama.

Bermatlamat mempertingkatkan ikatan antara masyarakat Melayu-Islam di kalangan DMDI, seminar itu turut mewujudkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama pendidikan, ekonomi, kebudayaan, wanita dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

DMDI dilihat sangat serius dalam merealisasikan wawasan untuk membawa keluar umat Melayu-Islam daripada belenggu kemiskinan melalui usaha memperkasa ekonomi dan pendidikan.

Dua bidang ini sering kali diberi penekanan dalam setiap pertemuan, seminar serta lokar karya DMDI sejak ditubuhkan pada 2004.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan pembangunan modal insan dilakukan bukan saja di negara ini, bahkan di seluruh dunia Islam dan Melayu di seluruh dunia. Bagaimanapun kerjasama antara negara rumpun Melayu amat diperlukan selain umat Islam itu sendiri tidak lagi boleh bergantung kepada modal tanah, buruh dan kewangan.

Saranan Perdana Menteri itu adalah tepat kerana dengan pembangunan modal insan akan membolehkan pembangunan lebih berkesan dilakukan dan mampu memperbaiki imej dan ekonomi masyarakat Islam di seluruh dunia.

Rombongan delegasi Sekretariat DMDI yang berpusat di Melaka diketuai Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau (Kepri) pada 19 dan 20 Mei lalu mengeratkan keakraban serta hubungan silam antara Melaka amnya dan Malaysia khasnya dengan kepulauan itu.

Tidak hairanlah setiba di jeti Tanjung Pinang, rombongan Melaka diberi sambutan meriah dengan penuh adat dan tradisi masyarakat di kepulauan berkenaan.

Sikap mesra dan rendah diri yang ditunjukkan oleh Gabenornya, Drs H Ismeth Abdullah bersama Wakil Gabenor, H M Sani membuatkan kira-kira 50 peserta termasuk wakil media yang menyertai rombongan itu seolah-olah berada di negeri sendiri.

Ketika berucap pada majlis perasmiannya, Mohd Ali berkata, menerusi modal insan itu ia akan membolehkan umat Melayu-Islam melahirkan idea dan ilmu serta mempunyai inisiatif dalam mencipta barang atau perkhidmatan baru dan tidak bergantung kepada perkara sedia ada yang dicipta oleh orang terdahulu.

“Masalah buta huruf di kalangan umat Islam adalah tinggi dan perkara terbabit perlu ditangani supaya umat Islam tidak selamanya ketinggalan dan perkara ketiga yang perlu ditangani segera ialah kurangnya ilmu di kalangan ummah.

“Untuk itu, menerusi Sekretariat DMDI, ia mahukan semua negara anggotanya memerangi ketiga-tiga perkara berkenaan dan bagi tujuan itu, DMDI sudah melaksanakan pelbagai program dalam usaha meningkatkan martabat umat Islam yang juga anggota DMDI," katanya.

Beberapa perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani sempena Pengukuhan dan Seminar DMDI. MoU itu adalah di antara Kolej Antarabangsa DMDI dengan Sekolah Tinggi Ilmu Sosial Politik Raja Haji (STISIPOL Raja Haji) yang ditandatangani Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin dengan Drs Zamzamil A Karim.

MoU kedua adalah antara Kolej Antarabangsa DMDI dan Sekolah Tinggi Agama Islam Miftahul Ulum antara Mohd Jamil dan Drs Syafuddin dan satu lagi perjanjian ialah antara Kolej Antarabangsa DMDI dan Lembaga Pendidikan dan Ketrampilan RANACO.

Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (Ketiam) turut menandatangani perjanjian dengan STISIPOL Raja Haji sementara Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) juga mengadakan perjanjian dengan DMDI Kepri.

Kerajaan negeri Melaka turut menyumbang RM50,000 bagi membantu pembangunan Sekolah Pondok Pengajian Al-Quran Daar-El Masir, Batam bagi membolehkan sekolah itu didirikan selepas terbabit dalam kebakaran pada 2002.

Mohd Ali berkata, sekolah itu dijangka siap sebelum bulan puasa tahun ini dan baki sumbangan sebanyak RM40,000 lagi akan menyusul kemudian apabila sekolah berkenaan siap dibina.

Ketika dalam lawatan ke Pusat Pembinaan dan Pengembangan Al-Quran (Quran Centre) di Batam, kerajaan negeri turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000.

No comments: