Thursday, July 5, 2007

Mahasiswa patut bantu bimbing remaja

TAHNIAH diucapkan kepada semua pelajar baru institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Langkah seterusnya lebih mencabar kerana melangkah ke alam mahasiswa dan bukan lagi pelajar biasa.

Sebagai mahasiswa, tanggungjawab terpikul di atas bahu cukup besar. Mahasiswa perlu menyiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu demi keluarga, bangsa dan negara.

Mahasiswa dianggap kelas atasan yang akan bertindak menggunakan kebijaksanaan tanpa perlu banyak disuruh. Itulah sebenarnya peranan mahasiswa masa kini.

Mahasiswa sepatutnya memainkan peranan sebagai pemimpin golongan remaja.

Pakar psikologi menyatakan, pada lingkungan umur ini, mereka lebih mempercayai kata-kata kawan berbanding ibu bapa.

Mereka akan keluar dan berkawan dengan pelbagai jenis kawan, ada yang baik dan ada juga tidak baik. Unsur ini perlu dipertimbang sewajarnya agar remaja tidak tersalah memilih kawan.

Unsur psikologi dan antropologi amat penting dalam memahami tingkah laku remaja. Teori perkembangan psikologi, yang mencadangkan bahawa remaja lebih rapat dengan rakan mereka, memberikan kelebihan kepada mahasiswa untuk mendekati golongan ini. Faktor umur amat penting, kerana ia memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai diri seseorang.

Penganjuran program di sekolah penting untuk membentuk rasa kagum dalam diri pelajar sekolah. Rasa kagum akan memberikan motivasi kepada mereka supaya lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran supaya suatu hari nanti mereka juga akan melangkah ke IPT. Mungkin nampak seperti khayalan, namun dalam pengalaman penulis dan rakan, perkara ini memang berlaku. Pelajar akan berasa diri mereka ada tempat untuk berpaut dan mereka lebih fokus dalam mencapai cita-cita mereka.

Kajian menunjukkan majoriti yang terbabit dalam gejala sosial adalah daripada kalangan pelajar lepasan PMR dan SPM yang tidak melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi. Mereka menjadi bebas, tiada lagi tempat untuk berpaut. Akibatnya, mereka berpaut pada kawan yang menjerumuskan diri mereka ke lembah kebejatan.

Peranan mahasiswa adalah menyediakan tempat untuk berpaut kepada golongan ini.

Mahasiswa perlu terus merangsang dan memotivasi golongan ini untuk terus belajar. Banyak lagi peluang untuk terus belajar; universiti awam, universiti swasta, kolej komuniti dan kolej profesional.

Sekurang-kurangnya, mereka akan membantu masyarakat menjadi sebuah masyarakat berilmu dan maju.

Selain turun ke sekolah, mahasiswa harus menganggotai persatuan belia, menyertai aktiviti kemasyarakatan di kampung, menulis di akhbar dan majalah. Mahasiswa perlu menjadi idola kepada masyarakat.

Kebelakangan ini, pelbagai unsur pembaharuan dibawa masuk dan diketengahkan kepada masyarakat. Unsur liberalisasi dan ekstrimis; dua unsur yang berada pada dua hujung berbeza, amat membimbangkan aktivis masyarakat.

Malangnya, ada segelintir mahasiswa yang membawa agenda itu. Mahasiswa perlu lebih sensitif menilai dan menganalisis perkara yang berlaku di sekitar mereka. Mereka perlu lebih memahami masyarakat dengan mendalam.

Jika tidak, dikhuatiri apa yang ingin mereka sampaikan tidak tersampai, akibat tidak memahami kumpulan sasaran mereka.

Aktiviti yang ditunjukkan mahasiswa juga perlu dikawal. Mahasiswa perlu memahami keutamaan dengan jelas. Imam Yusuf Qardawi, seorang tokoh agama disegani pernah berkata, ilmu perlu diutamakan berbanding amal.

Demi mencapai ilmu yang tinggi, mahasiswa perlu mengasimilasi aktiviti dalam proses pembelajaran. Contohnya, untuk menjadi seorang idola kepada masyarakat, mahasiswa perlu cemerlang dalam pelajaran. Mahasiswa perlu bijak membahagikan masa untuk beraktiviti dan belajar pada masa sama. Jika tidak, malulah mereka bergelar mahasiswa, tetapi tidak tahu apa-apa.

Teori belajar sambil mencabar pernah berkesan kepada ramai ilmuan seluruh dunia. Lihatlah bagaimana Prof Dr Sidek Baba mencapai tahap tertinggi keilmuannya dengan mencabar dirinya untuk terus belajar, walaupun berasal dari keluarga miskin. Semua mampu dilakukan jika seseorang itu berfikiran positif, cekal dan bertawakal.

Kemasukan pelajar baru ke alam universiti adalah permulaan baru. Ditambah pula dengan dasar baru Kementerian Pengajian Tinggi yang amat positif, iaitu menganjurkan aktiviti bakti siswa kepada semua mahasiswa, maka permulaan ini adalah permulaan yang sangat baik.

Mahasiswa perlu memandang positif terhadap usaha ini, lantas menyahut seruan itu. Namun, bagi mahasiswa sendiri, mereka perlu lebih proaktif dalam segala jenis bidang.

Biarpun ramai pihak yang berbicara mengenai penggubalan semula Akta Universiti dan Kolej Universiti, mahasiswa juga perlu berpijak pada bumi nyata.

Mereka masih mampu aktif dalam pelbagai aktiviti, asalkan tidak melanggar akta itu. Akta itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mahasiswa terus mundur, yang mengakibatkan kemunduran masyarakat keseluruhannya.

Mahasiswa perlu bangun semula. Mahasiswa perlu menjadi idola remaja dan rakan bagi mereka. Mahasiswa perlu menjuarai permasalahan masyarakat dan pada masa sama, mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Semoga masa depan negara akan lebih gemilang dengan berkesannya peranan yang dimainkan oleh mahasiswa.

A SAFWAN MOHAMAD,
Pengkalan Hulu, Perak.

No comments: