Sunday, July 1, 2007

Kata Saya: Agama sebagai benteng elak keruntuhan moral

Oleh Rasid Rahaman

SEJAK kebelakangan ini, agak mudah kita lihat gelagat remaja, terutama Melayu yang keterlaluan dalam mempamerkan akhlak. Di mana saja, kita menyaksikan keruntuhan akhlak, sama ada yang tinggal di kampung, pekan dan bandar besar. Kebanyakan daripada kita tentu tahu puncanya, tetapi penulis suka mencatatkannya dalam ruangan ini supaya kita sama-sama mengambil iktibar. Antara keruntuhan akhlak paling ketara ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga tidak pernah berasa berdosa atau takut pada pembalasan selepas mati. Berkelakuan tidak senonoh antara lelaki dengan perempuan di khalayak ramai atau di tempat tersembunyi. Selain itu, ramai wanita Islam hari ini berpakaian singkat dan mendedahkan bahagian tubuh badan dengan megah dan bangga tanpa segan silu.

Begitu juga budaya minum arak, ia seperti menjadi cara hidup sebahagian orang Islam. Tiada perasaan takut, malah megah kerana berani minum apabila orang Islam lain melihatnya. Anak muda ketagih kepada muzik mengkhayalkan secara berlebihan dan terkinja-kinja menari. Remaja pula terbabit dalam kegiatan sumbang, menyalahi undang-undang, lumba haram, samseng, peras ugut, menjual maruah dan banyak lagi. Yang hampir dengan kita apabila anak tidak menghormati ibu bapa, guru dan orang tua. Berpuluh-puluh lagi senarai keruntuhan akhlak berlaku dalam masyarakat hari ini. Pastinya kita tertanya-tanya apakah faktor menjadikan keruntuhan akhlak ini semakin serius?

Sebenarnya semua berpunca daripada kita. Cuba lihat dalam keluarga sendiri. Adakah kita mendidik anak dalam soal agama dengan sebaiknya. Apakah anak kita memahami Islam? Apakah keluarga kita, termasuk dalam orang menunaikan tuntutan agama paling asas iaitu menunaikan solat lima waktu? Adakah anak dilatih berpuasa? Adakah anak boleh membaca al-Quran? Adakah anak kita taat kepada ibu bapa? Adakah anak kita tidak akan melukai atau mengecilkan hati kita? Adakah mereka hormat dan kasih kepada kita atau selalu ingkar kepada nasihat? Memang kita sedar kelemahan, tetapi kenapa kita tetap leka. Masa kita untuk keluarga terlalu terhad kerana kita sibuk dengan kegiatan sosial berlebihan dan mencari rezeki tanpa batasan. Jika inilah alasan, bermakna masa 24 jam yang diperuntukkan itu jelaslah tidak mencukupi. Salah siapa? Jika itu pendirian, memang jelas sebenarnya kita tergolong dalam kategori insan leka dan lalai.

Sedarkah kita keruntuhan akhlak remaja pada hari ini bermula dalam keluarga sebelum akhirnya menjurus kepada masyarakat dan negara. Semua orang ada tanggungjawab. Kita juga ada tanggungjawab terhadap majikan, kerjaya, masyarakat, namun tanggungjawab terhadap membentuk moral dan akhlak anak dan keluarga tidak boleh diletakkan ke tepi. Sudahkah lengkap kita memberi pendidikan kepada anak? Sejauh mana kita menanamkan sifat jujur dan amanah kepada mereka? Bagaimana dengan diri sendiri? Apakah kita seorang manusia bercakap benar dan amanah? Peribahasa Melayu mengatakan bapa borek anak rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ke mana lagi kalau kuah tidak tumpah ke nasi. Bagaimanapun, agak mengecewakan ada kalangan ibu bapa hari ini terlalu kecewa jika anaknya tidak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajarannya, sebaliknya tidak berasa risau jika anaknya tidak tahu membaca al-Quran dan buta dalam agama. Untuk itu, cuba kita berhenti sesaat dan fikirkan apakah sebenarnya yang kita kejar? Adakah harta, wang ringgit, kemewahan atau pangkat?

Kemanakah pula kita belanjakan khazanah itu? Adakah kita bawa khazanah ini ke liang lahat? Fikirkanlah. Oleh itu, janganlah kita abaikan tanggungjawab dalam memberi pendidikan sempurna kepada anak. Hanya menerusi pendidikan sempurna termasuk agama, mereka pastinya mampu menjadi insan lebih baik. Keruntuhan akhlak di kalangan remaja hari ini mungkin boleh dikurangkan kerana jika anak kita tahu yang mana kaca dan permata. – rasid5@yahoo.com


1/7/2007

No comments: