Tuesday, July 3, 2007

Kerjasama IPT, industri atasi pengangguran

MASALAH pengangguran di kalangan siswazah bukanlah isu baru. Pelbagai tindakan dirancang dan diambil bagi mengatasinya, namun belum dapat mengatasi permasalahan ini sepenuhnya.

Pelbagai andaian dibuat antaranya kualiti graduan yang tidak memenuhi syarat pekerjaan dan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan siswazah. Malah ada juga pihak mempertikaikan pihak universiti kerana tidak melengkapkan siswazah dengan ilmu pengetahuan khusus mengikut keperluan pekerjaan semasa, sebaliknya melengkapkan mereka dengan pengetahuan umum dalam sesuatu bidang.

Walaupun pada ketika ini sudah wujud universiti khusus seperti Universiti Tenaga Nasional, Universiti Multimedia dan Universiti Petronas, ia masih menyediakan siswazah dengan ilmu asas di mana graduan tidak semestinya diambil bekerja di organisasi terbabit.

Namun begitu beban ini tidak seharusnya dipikul institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata. IPT hanya menyediakan graduan dengan ilmu pengetahuan umum selama lebih kurang tiga atau empat tahun, tetapi mereka akan bekerja bagi tempoh lebih kurang 30 tahun dengan pihak organisasi dan industri.

Organisasi luar dan industri harus memikul tanggungjawab melatih pekerja dan memberi ilmu pengetahuan khusus bersesuaian dengan keperluan pekerjaan semasa. Latihan berterusan organisasi dan industri perlu kerana kepesatan perkembangan teknologi yang sentiasa berubah.

Bahagian pembangunan sumber manusia dalam setiap organisasi perlu bertanggungjawab melatih kakitangan dan tidak hanya mempersalahkan IPT kerana tidak menyediakan siswazah mengikut pasaran khusus.

Walau apa juga andaian serta alasan dibuat, masalah pengangguran di kalangan siswazah harus dipandang serius. Pihak terbabit tidak harus mempersalahkan antara satu sama lain jika mahu masalah pengangguran ini diatasi. Pembabitan semua pihak sama ada IPT, pihak industri, kerajaan dan masyarakat perlu dalam menangani permasalahan ini.

Usaha sama antara universiti dengan industri atau organisasi luar perlu bagi mengenal pasti peluang pekerjaan dan permintaan tenaga kerja semasa. Jika kini universiti bebas menetapkan matlamatnya daripada campur tangan luar, tetapi keadaan ini perlu ditukar kerana ini akan menjadikan IPT tidak berupaya memenuhi permintaan ekonomi semasa.

Pihak IPT, industri dan kerajaan perlu ada satu kerjasama secara formal dalam satu rangkaian yang khusus demi kepentingan bersama untuk melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan ekonomi. Satu bentuk pakatan rapat antara IPT yang menyediakan bakal graduan dengan organisasi luar bagi memenuhi keperluan dan permintaan industri kini adalah satu tindakan wajar.

Pihak IPT dan industri perlu bekerjasama dalam membentuk kurikulum bagi menyediakan graduan mengikut keperluan pekerjaan semasa. Jalinan kerjasama IPT dan Industri dalam mengendalikan latihan secara bersama adalah satu keperluan yang mendesak ketika ini.

Siswazah perlu disediakan ilmu pengetahuan dan kepakaran khusus dalam memastikan tenaga mereka dapat digunakan ke tahap maksimum. Ini juga bagi memenuhi keperluan ekonomi dunia sekarang yang berlandaskan k-ekonomi.

Tindakan ini bukan saja dapat mengatasi masalah pengangguran malah memberi manfaat kepada membangunkan organisasi dan industri sejajar matlamat negara menjadi negara maju menjelang 2020.

ABDUL MUTALIB MOHAMED AZIM,
Pelajar Sarjana UPM.


3/7/2007

No comments: