Thursday, July 5, 2007

Mahasiswa patut bantu bimbing remaja

TAHNIAH diucapkan kepada semua pelajar baru institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Langkah seterusnya lebih mencabar kerana melangkah ke alam mahasiswa dan bukan lagi pelajar biasa.

Sebagai mahasiswa, tanggungjawab terpikul di atas bahu cukup besar. Mahasiswa perlu menyiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu demi keluarga, bangsa dan negara.

Mahasiswa dianggap kelas atasan yang akan bertindak menggunakan kebijaksanaan tanpa perlu banyak disuruh. Itulah sebenarnya peranan mahasiswa masa kini.

Mahasiswa sepatutnya memainkan peranan sebagai pemimpin golongan remaja.

Pakar psikologi menyatakan, pada lingkungan umur ini, mereka lebih mempercayai kata-kata kawan berbanding ibu bapa.

Mereka akan keluar dan berkawan dengan pelbagai jenis kawan, ada yang baik dan ada juga tidak baik. Unsur ini perlu dipertimbang sewajarnya agar remaja tidak tersalah memilih kawan.

Unsur psikologi dan antropologi amat penting dalam memahami tingkah laku remaja. Teori perkembangan psikologi, yang mencadangkan bahawa remaja lebih rapat dengan rakan mereka, memberikan kelebihan kepada mahasiswa untuk mendekati golongan ini. Faktor umur amat penting, kerana ia memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai diri seseorang.

Penganjuran program di sekolah penting untuk membentuk rasa kagum dalam diri pelajar sekolah. Rasa kagum akan memberikan motivasi kepada mereka supaya lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran supaya suatu hari nanti mereka juga akan melangkah ke IPT. Mungkin nampak seperti khayalan, namun dalam pengalaman penulis dan rakan, perkara ini memang berlaku. Pelajar akan berasa diri mereka ada tempat untuk berpaut dan mereka lebih fokus dalam mencapai cita-cita mereka.

Kajian menunjukkan majoriti yang terbabit dalam gejala sosial adalah daripada kalangan pelajar lepasan PMR dan SPM yang tidak melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi. Mereka menjadi bebas, tiada lagi tempat untuk berpaut. Akibatnya, mereka berpaut pada kawan yang menjerumuskan diri mereka ke lembah kebejatan.

Peranan mahasiswa adalah menyediakan tempat untuk berpaut kepada golongan ini.

Mahasiswa perlu terus merangsang dan memotivasi golongan ini untuk terus belajar. Banyak lagi peluang untuk terus belajar; universiti awam, universiti swasta, kolej komuniti dan kolej profesional.

Sekurang-kurangnya, mereka akan membantu masyarakat menjadi sebuah masyarakat berilmu dan maju.

Selain turun ke sekolah, mahasiswa harus menganggotai persatuan belia, menyertai aktiviti kemasyarakatan di kampung, menulis di akhbar dan majalah. Mahasiswa perlu menjadi idola kepada masyarakat.

Kebelakangan ini, pelbagai unsur pembaharuan dibawa masuk dan diketengahkan kepada masyarakat. Unsur liberalisasi dan ekstrimis; dua unsur yang berada pada dua hujung berbeza, amat membimbangkan aktivis masyarakat.

Malangnya, ada segelintir mahasiswa yang membawa agenda itu. Mahasiswa perlu lebih sensitif menilai dan menganalisis perkara yang berlaku di sekitar mereka. Mereka perlu lebih memahami masyarakat dengan mendalam.

Jika tidak, dikhuatiri apa yang ingin mereka sampaikan tidak tersampai, akibat tidak memahami kumpulan sasaran mereka.

Aktiviti yang ditunjukkan mahasiswa juga perlu dikawal. Mahasiswa perlu memahami keutamaan dengan jelas. Imam Yusuf Qardawi, seorang tokoh agama disegani pernah berkata, ilmu perlu diutamakan berbanding amal.

Demi mencapai ilmu yang tinggi, mahasiswa perlu mengasimilasi aktiviti dalam proses pembelajaran. Contohnya, untuk menjadi seorang idola kepada masyarakat, mahasiswa perlu cemerlang dalam pelajaran. Mahasiswa perlu bijak membahagikan masa untuk beraktiviti dan belajar pada masa sama. Jika tidak, malulah mereka bergelar mahasiswa, tetapi tidak tahu apa-apa.

Teori belajar sambil mencabar pernah berkesan kepada ramai ilmuan seluruh dunia. Lihatlah bagaimana Prof Dr Sidek Baba mencapai tahap tertinggi keilmuannya dengan mencabar dirinya untuk terus belajar, walaupun berasal dari keluarga miskin. Semua mampu dilakukan jika seseorang itu berfikiran positif, cekal dan bertawakal.

Kemasukan pelajar baru ke alam universiti adalah permulaan baru. Ditambah pula dengan dasar baru Kementerian Pengajian Tinggi yang amat positif, iaitu menganjurkan aktiviti bakti siswa kepada semua mahasiswa, maka permulaan ini adalah permulaan yang sangat baik.

Mahasiswa perlu memandang positif terhadap usaha ini, lantas menyahut seruan itu. Namun, bagi mahasiswa sendiri, mereka perlu lebih proaktif dalam segala jenis bidang.

Biarpun ramai pihak yang berbicara mengenai penggubalan semula Akta Universiti dan Kolej Universiti, mahasiswa juga perlu berpijak pada bumi nyata.

Mereka masih mampu aktif dalam pelbagai aktiviti, asalkan tidak melanggar akta itu. Akta itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mahasiswa terus mundur, yang mengakibatkan kemunduran masyarakat keseluruhannya.

Mahasiswa perlu bangun semula. Mahasiswa perlu menjadi idola remaja dan rakan bagi mereka. Mahasiswa perlu menjuarai permasalahan masyarakat dan pada masa sama, mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Semoga masa depan negara akan lebih gemilang dengan berkesannya peranan yang dimainkan oleh mahasiswa.

A SAFWAN MOHAMAD,
Pengkalan Hulu, Perak.

Pengurusan sistematik pulihara hutan Sarawak

Oleh Melati Mohd Ariff

HAMPIR tiga suku Sarawak dengan keluasan tanah kira-kira 12.3 juta hektar dilitupi hutan hujan tropika. ‘Emas hijau’, begitulah gelaran yang diberi kepada khazanah hutan ini dan Bumi Kenyalang dari udara seumpama ‘lautan hijau’ yang tiada penghujungnya.

Kepentingan sektor perhutanan dan industri hutan kepada ekonomi Sarawak selain industri petroleum dapat dilihat daripada pendapatan yang dijana menerusi eksport barang perkayuan.

Statistik mencatatkan nilai eksport kayu Sarawak meningkat 26 peratus kepada RM9.1 bilion pada 2006 daripada RM7.2 bilion tahun sebelumnya.

Industri perkayuan juga adalah majikan utama di negeri itu. Sehingga Mac 2007, industri terbabit menyediakan pekerjaan kepada 92,360 penduduk(kira-kira 40 peratus) bagi kedua-dua sektor huluan dan hiliran daripada keseluruhan 229,572 yang bekerja di negeri berkenaan.

Sebagai langkah proaktif untuk melindungi nilai hutan Sarawak pada masa depan, negeri itu mengamalkan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM).

Menurut Dr Lee Huang Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kayu Balak Sarawak (STA), SFM membolehkan kerja mengeluarkan hasil hutan dibuat tanpa menjejaskan keperluasan generasi masa depan untuk menikmati hasil barang dan perkhidmatan daripada hutan yang sama.

STA, katanya mempunyai kira-kira 600 ahli, majoritinya terbabit dalam sektor hiliran menyokong pelaksanaan SFM, antaranya menerusi Sistem Pengurusan Selektif (SMS).

“SMS ini dihasilkan selepas beberapa siri projek penyelidikan dan pembangunan yang dikendalikan dari tahun 1960-an hingga pertengahan 1970-an. Ia dijalankan menerusi projek bantuan teknikal tajaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hanya lima hingga tujuh pokok ditebang bagi setiap satu hektar. Pembalakan selektif ini juga meninggalkan tunggul yang akan tumbuh secara semula jadi kepada pokok yang sudah ditebang untuk kitaran penebangan akan datang. Kitaran penebangan ini biasanya selepas tempoh 25 tahun,” katanya kepada Bernama dalam wawancara di Miri baru-baru ini.

Dr Lee sendiri sudah berkhidmat lebih 30 tahun dengan Jabatan Perhutanan Sarawak dan jawatan terakhir yang disandangnya ialah Timbalan Pengarah Perhutanan.

Samling Global Limited, satu daripada enam syarikat pembalakan utama di Sarawak sudah mengambil inisiatif proaktif dengan mendapatkan persijilan bagi satu daripada konsesi atau Unit Pengurusan Perhutanan (FMU)nya di negeri itu.

Sektor A Sela’an-Linau FMU yang terletak di kawasan Ulu Baram, meliputi kawasan seluas 55,949 hektar dianugerahkan persijilan secara sukarelawan pada 2004 oleh Majlis Pensijilan Kayu-Kayan Malaysia (MTCC).

Persijilan MTCC untuk Pengurusan Perhutanan itu adalah yang pertama seumpamanya diberikan kepada sebuah syarikat perkayuan swasta di Malaysia dan juga yang pertama di Sarawak.

Memandangkan pengguna global semakin peka kepada keperluan alam sekitar dan mesra alam, persijilan perhutanan juga dilihat sebagai memberi isyarat pasaran kepada pembeli bahawa produk yang dibeli diambil dari hutan yang diuruskan sejajar dengan piawaian ketat alam sekitar dan sosial.

Sela’an-Linau FMU diuruskan oleh pelan pengurusan perhutanan (FMP) meliputi antaranya aspek penilaian sumber perhutanan, pembalakan berhemah (RIL), silvikultur, pemulihan dan penanaman semula hutan, pengurusan hidupan liar, perlindungan dan pengurusan kawasan perlindungan (kawasan tadahan air, ekopelancongan, kawasan kebudayaan dan kepelbagaian hayat) dan pembangunan komuniti.

Mengulas rasional mendapatkan persijilan ini, Naib Presiden Bahagian Sumber Perhutanan Samling, James Ho, berkata: “Kebanyakan syarikat pembalakan tidak mempunyai persijilan perkayuan, tetapi kami mengambil inisiatif ini untuk menjenamakan produk kami. Apa yang kami harapkan produk kami akan dapat harga lebih baik. Untuk pasaran Eropah iaitu tempat kami mengeksport kayu lapis kami, persijilan produk diperlukan.”

Beliau berkata,Samling komited kepada proses persijilan perhutanan secara sukarela sebagai usaha meningkatkan piawaian industri serta mempromosikan pengurusan hutan secara lebih bertanggungjawab.

James berkata, inisiatif yang diambil Samling dalam mendapatkan persijilan MTCC jelas menunjukkan pihak syarikat mengamalkan garis panduan SFM dan ini ternyata dengan inisiatif dilakukannya dalam mendapatkan persijilan MTCC.

“Kami beroperasi dalam lingkungan undang-undang dan mengikut peraturan yang memerlukan kami bertindak secara bertanggungjawab,” katanya sambil menambah ada pertubuhan bukan kerajaan yang melemparkan tuduhan bahawa syarikat itu memusnahkan hutan hujan di Sarawak.

Sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai ‘amat tidak benar’, James berkata, Samling sentiasa memberi perhatian berat kepada kepentingan pelbagai komuniti pribumi Sarawak.

“Ada 24 kumpulan pribumi di Sarawak dan kira-kira separuh daripada mereka termasuk Kenyah, Kayan, Kelabit dan Penan tinggal di kawasan konsesi kami.

“Setiap tindak-tanduk kami adalah berlandaskan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk kebajikan masyarakat pribumi. Malah, sebelum kami memulakan sebarang operasi pembalakan, kami akan berunding terlebih dulu dengan masyarakat tempatan bagi mendapatkan maklum balas dan mencapai kata sepakat sebelum pengusahasilan dibuat,” katanya.

Buta huruf kekang kemajuan Melayu Nusantara

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

TIGA perkara utama yang dihadapi umat Melayu Islam di seluruh dunia pada ketika ini ialah kemiskinan, buta huruf dan juga kurang ilmu pengetahuan. Usaha untuk menyatu serta mengembalikan semula kegemilangan 300 juta umat terbabit adalah menerusi pelbagai kegiatan yang wajar diberi sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketiga-tiga elemen negatif itu juga perlu ditangani sebaik mungkin oleh masyarakat Melayu Islam di seluruh dunia dalam usaha meningkatkan semula imej masyarakat itu di tengah era globalisasi dunia sekarang supaya tidak lagi ditindas atau ditekan bangsa asing.

Sehubungan itu, Sekretariat DMDI yang menganjurkan Seminar dan Lokakarya Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bertemakan 'Kegemilangan Melayu Sebagai Teras Pembangunan Tamadun di Kepulauan Riau' di Tanjung Pinang, Indonesia baru-baru ini dilihat mampu meningkatkan taraf hidup dan ketamadunan Melayu dan Islam yang sudah wujud sekian lama.

Bermatlamat mempertingkatkan ikatan antara masyarakat Melayu-Islam di kalangan DMDI, seminar itu turut mewujudkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama pendidikan, ekonomi, kebudayaan, wanita dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

DMDI dilihat sangat serius dalam merealisasikan wawasan untuk membawa keluar umat Melayu-Islam daripada belenggu kemiskinan melalui usaha memperkasa ekonomi dan pendidikan.

Dua bidang ini sering kali diberi penekanan dalam setiap pertemuan, seminar serta lokar karya DMDI sejak ditubuhkan pada 2004.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan pembangunan modal insan dilakukan bukan saja di negara ini, bahkan di seluruh dunia Islam dan Melayu di seluruh dunia. Bagaimanapun kerjasama antara negara rumpun Melayu amat diperlukan selain umat Islam itu sendiri tidak lagi boleh bergantung kepada modal tanah, buruh dan kewangan.

Saranan Perdana Menteri itu adalah tepat kerana dengan pembangunan modal insan akan membolehkan pembangunan lebih berkesan dilakukan dan mampu memperbaiki imej dan ekonomi masyarakat Islam di seluruh dunia.

Rombongan delegasi Sekretariat DMDI yang berpusat di Melaka diketuai Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau (Kepri) pada 19 dan 20 Mei lalu mengeratkan keakraban serta hubungan silam antara Melaka amnya dan Malaysia khasnya dengan kepulauan itu.

Tidak hairanlah setiba di jeti Tanjung Pinang, rombongan Melaka diberi sambutan meriah dengan penuh adat dan tradisi masyarakat di kepulauan berkenaan.

Sikap mesra dan rendah diri yang ditunjukkan oleh Gabenornya, Drs H Ismeth Abdullah bersama Wakil Gabenor, H M Sani membuatkan kira-kira 50 peserta termasuk wakil media yang menyertai rombongan itu seolah-olah berada di negeri sendiri.

Ketika berucap pada majlis perasmiannya, Mohd Ali berkata, menerusi modal insan itu ia akan membolehkan umat Melayu-Islam melahirkan idea dan ilmu serta mempunyai inisiatif dalam mencipta barang atau perkhidmatan baru dan tidak bergantung kepada perkara sedia ada yang dicipta oleh orang terdahulu.

“Masalah buta huruf di kalangan umat Islam adalah tinggi dan perkara terbabit perlu ditangani supaya umat Islam tidak selamanya ketinggalan dan perkara ketiga yang perlu ditangani segera ialah kurangnya ilmu di kalangan ummah.

“Untuk itu, menerusi Sekretariat DMDI, ia mahukan semua negara anggotanya memerangi ketiga-tiga perkara berkenaan dan bagi tujuan itu, DMDI sudah melaksanakan pelbagai program dalam usaha meningkatkan martabat umat Islam yang juga anggota DMDI," katanya.

Beberapa perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani sempena Pengukuhan dan Seminar DMDI. MoU itu adalah di antara Kolej Antarabangsa DMDI dengan Sekolah Tinggi Ilmu Sosial Politik Raja Haji (STISIPOL Raja Haji) yang ditandatangani Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin dengan Drs Zamzamil A Karim.

MoU kedua adalah antara Kolej Antarabangsa DMDI dan Sekolah Tinggi Agama Islam Miftahul Ulum antara Mohd Jamil dan Drs Syafuddin dan satu lagi perjanjian ialah antara Kolej Antarabangsa DMDI dan Lembaga Pendidikan dan Ketrampilan RANACO.

Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (Ketiam) turut menandatangani perjanjian dengan STISIPOL Raja Haji sementara Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) juga mengadakan perjanjian dengan DMDI Kepri.

Kerajaan negeri Melaka turut menyumbang RM50,000 bagi membantu pembangunan Sekolah Pondok Pengajian Al-Quran Daar-El Masir, Batam bagi membolehkan sekolah itu didirikan selepas terbabit dalam kebakaran pada 2002.

Mohd Ali berkata, sekolah itu dijangka siap sebelum bulan puasa tahun ini dan baki sumbangan sebanyak RM40,000 lagi akan menyusul kemudian apabila sekolah berkenaan siap dibina.

Ketika dalam lawatan ke Pusat Pembinaan dan Pengembangan Al-Quran (Quran Centre) di Batam, kerajaan negeri turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000.

Projek PIPP, prasarana sekolah kena seiring

KETIKA pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) pada 16 Januari lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan akan melaporkan pencapaian dan kemajuan pelan itu kepada umum supaya rakyat sama-sama mengetahui sejauh mana perancangan dibuat itu berjaya dilaksanakan. Kelmarin, beliau mengotakan janjinya apabila mendedahkan kepada umum Kad Laporan PIPP itu bagi membolehkan pelbagai pihak mendapat maklumat terkini, mengenai perkembangan pelaksanaan projek pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kad laporan disediakan dua kali setahun itu, meliputi pencapaian dan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan sejak permulaan RMK-9 pada 31 Mac tahun lalu. Penyediaan laporan itu selaras dengan janji menteri berkenaan untuk melaksanakan apa yang sudah dirancang secara telus dan terbuka. Sehingga akhir bulan lalu, Kementerian Pelajaran melaksanakan 4,639 projek infrastruktur baru pendidikan dalam RMK-9 merangkumi 27.7 peratus daripada 16,735 projek infrastruktur baru bernilai RM20.704 bilion yang dirancang dalam program lima tahun itu. Ia bermakna kementerian berkenaan mempunyai tempoh kira-kira tiga tahun dari sekarang untuk melaksanakan baki projek pembangunan iaitu 12,096 atau 72.3 peratus daripada keseluruhan projek dirancang, sebelum rancangan lima tahun itu melabuhkan tirainya pada 2010.

Berdasarkan kemajuan terkandung dalam Kad Laporan PIPP pertama itu, Kementerian Pelajaran membayangkan keyakinannya semua projek dirancangkan itu mampu direalisasikan mengikut jadual. Jika tidak, masakan kementerian itu bersikap begitu telus dengan memberi perincian setiap pencapaian dan kemajuan menerusi Kad Laporan PIPP. Sekiranya prestasi itu dapat dipertahan, rakyat boleh menaruh kepercayaan terhadap keupayaan Kementerian Pelajaran untuk mencapai matlamat disasarkan dalam PIPP. Rakyat memang menghargai kesungguhan kerajaan bertindak pantas menyiapkan setiap projek PIPP mengikut tempoh mengikut jadual. Namun, pada masa sama, kementerian harus memberi perhatian serius kepada aspek kualiti kerana kita tidak mahu berlaku ‘rumah siap pahat berbunyi’ terutama berhubung kelewatan pelaksanaan atau mutu sesuatu projek. Kita akui, dalam melaksanakan apa juga projek, kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan masalah dan kelemahan. Begitu juga dengan pelaksanaan projek dalam PIPP, tetapi setiap kelemahan itu tidak harus dijadikan halangan untuk meneruskan projek seterusnya seperti dirancang, sebaliknya ia boleh dijadikan panduan bagi memantapkan gerak kerja, seterusnya menambahbaikkan PIPP itu sendiri.

Walaupun pencapaian projek PIPP setakat ini dikira memuaskan, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diatasi seperti bekalan elektrik dan penyediaan air bersih kepada sekolah di pedalaman dan luar bandar. Dalam keadaan negara menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan, sukar kita menerima hakikat bahawa masih ada rakyat negara ini belum mengecapi kemudahan air bersih dan elektrik. Oleh itu, amat wajar kemudahan berkenaan dipercepatkan. Apapun, rakyat luar bandar sudah tentu lega dengan jaminan Kementerian Pelajaran untuk terus memberi keutamaan kepada kemudahan infrastruktur, terutama menaik taraf sekolah luar bandar, pembinaan sekolah pendidikan khas dan sekolah yang memerlukan prasarana dalam konteks sukan dan kokurikulum tanpa menidakkan kewujudan sistem aliran lain, termasuk sekolah agama rakyat dan swasta. Kita harap janji akan ditepati supaya rakyat, terutama masyarakat dan pelajar sekolah memanfaat segala kemudahan yang disediakan.

Bersama Diplomat : Perpaduan Palestin lebih utama

Oleh Abdelaziz Aboughosh (Duta Palestin ke Malaysia)

Hamas, Fatah perlu berdamai untuk bebas daripada cengkaman rejim Israel

PERJUANGAN kami adalah untuk menentang pencerobohan Israel yang memecahbelahkan negara dan rakyat Palestin. Kami bekerja keras bagi mengelak tercetusnya perang saudara untuk melindungi rakyat Palestin dan institusi pemerintahan serta memastikan proses demokrasi terus wujud. Matlamat akhir kami adalah menamatkan ‘penjajahan’ Israel di bumi Palestin.

Malangnya, kini wujud usaha untuk mengasingkan Semenanjung Gaza dari Tebing Barat, wujud kumpulan yang ingin membentuk separa negara (semi state) yang hanya dikuasai satu sayap. Kumpulan ini yang diterajui sebuah parti utama cuba melakukan rampasan kuasa di Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Beberapa siri pembunuhan terus berlaku di kalangan anggota keselamatan Palestin di Semenanjung Gaza. Apa yang nyata, rancangan ini direstui kepemimpinan Hamas yang turut menghalang usaha Presiden Mahmoud Abbas dan pemimpin Palestin lain, yang bekerja keras untuk mengelak daripada berlaku sebarang tragedi sesama rakyat Palestin.

Paling mengejutkan, kumpulan ini menyerang ibu pejabat pasukan keselamatan negara, agensi perisikan, pasukan pencegah rusuhan serta skuad pengawal Presiden. Kumpulan ini bertindak kejam apabila melakukan pembunuhan di jalanan, menghumban saudara sendiri dari bumbung bangunan dan tindakan lain yang amat mengaibkan.

Mengapa ini semua berlaku? Ia hanya untuk mencapai impian kumpulan tertentu yang ingin mewujudkan separa negara dengan cuba mempengaruhi kehidupan, minda dan masa depan 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza. Adalah satu kesilapan besar sekiranya ada yang memandang remeh konflik antara Fatah dan Hamas. Ia konflik antara kumpulan nasionalis dan kumpulan bersenjata, pergolakan antara kumpulan yang ingin memiliki sebuah negara merdeka berasaskan persempadanan 1967 dengan Alquds alShariff sebagai ibu negara, dengan mereka yang ingin hanya separa negara di Gaza.

Konflik Fatah-Hamas ini juga antara kumpulan yang tidak teragak-agak menggunakan kekerasan untuk mencipta sistem tertutup mereka sendiri, dengan kumpulan yang melaksanakan tanggungjawab berasaskan demokrasi dan dialog dalam meleraikan sebarang masalah.

Kami berazam untuk memastikan tindakan kejam kumpulan perampas kuasa ini dihentikan secepat mungkin. Kami juga menolak sekeras-kerasnya sebarang langkah Israel untuk mengasingkan rakyat Palestin di Gaza, apa lagi dengan mengeksploitasi tindakan kumpulan pemberontak ini.

Pihak Berkuasa Palestin mempunyai tanggungjawab mengukuhkan kesatuan serta kebajikan seluruh rakyat Palestin. Kami kini berada di persimpangan baru yang mana setiap usaha untuk berdialog selama ini menjadi sia-sia, sehinggalah kami dapat menamatkan semua tindakan rampasan kuasa, termasuk membubarkan kumpulan eksekutif yang menjadi alat utama dalam rampasan kuasa baru-baru ini.

Kepemimpinan Hamas mesti memohon maaf kepada rakyat Palestin dan Pertubuhan Pembebasan Islam (PLO) atas jenayah berdarah yang mereka lakukan. Mereka mesti menyerah semula semua kuasa, termasuk ibu pejabat mereka kepada kerajaan darurat yang sah serta mematuhi semua keputusan kerajaan baru.

Pihak Berkuasa Palestin dan seluruh rakyat akan meneruskan perjalanan ke arah masa depan yang aman dan damai. Kumpulan pemberontak tidak akan berjaya untuk mengelicirkan kami daripada laluan bagi mencapai kemerdekaan dan membebaskan seluruh rakyat Palestin daripada belenggu kemiskinan dan kemerosotan ekonomi.

Kami akan pastikan Palestin terus kekal dengan masyarakat pelbagai kaumnya, menghormati ideologi serta persamaan hak serta tanggungjawab di kalangan seluruh rakyatnya. Palestin akan kekal sebagai tanah tumpah darah seluruh rakyatnya.

Sementara itu, apabila bercakap mengenai pasukan pengaman antarabangsa, kami amat mengalu-alukan kehadiran mereka kerana ia sekali gus dapat memberi perlindungan secara langsung kepada rakyat Palestin, terutama memastikan pergerakan lebih bebas berbanding sekarang.

Selama ini, tentera Israel mengadakan pelbagai sekatan dan sentiasa mencari jalan memusnahkan harta benda rakyat kami dan membunuh tanpa mengira masa, tanpa mempedulikan jutaan masyarakat antarabangsa yang melihat, tetapi tidak dapat melahirkan sebarang bantahan.

Pasukan pengaman amat diperlukan di Gaza, terutama kawasan sempadan di bawah pentadbiran Israel dan Mesir yang dikenakan sekatan. Sebelum kejadian rampasan kuasa tempoh hari, Pihak Berkuasa Palestin dan kumpulan pemerhati Kesatuan Eropah (EU) menggunakan sempadan wilayah ini untuk membawa masuk barang serta rakyat kami juga lebih bebas keluar masuk.

Tetapi sekarang, semua barang dan lebih ramai rakyat Palestin berada di luar atau dalam kawasan persempadanan terbabit. Akibatnya, rakyat Palestin tidak mempunyai akses untuk mendapat barang keperluan utama hampir setiap masa.

Justeru, kehadiran pasukan pengaman antarabangsa amat penting di wilayah berkonflik ini, apa lagi selepas melihat kehadiran mereka seperti di Selatan Lubnan diterima baik puak Hizbullah, manakala di sempadan Syria-Israel (Bukit Golan) juga diterima baik Kerajaan Syria.

Laporan terbaru diterima, lebih 6,000 rakyat Palestin tersadai di dalam wilayah Mesir, di Rafah dan seorang ibu kepada lima anak meninggal dunia akibat cuaca amat panas. Kami mendesak Israel yang bertanggungjawab di wilayah ini supaya membuka sekatan itu serta-merta.

Dalam isu lain, ramai pihak bertanya pendapat saya mengenai tindakan Kuartet melantik bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai wakil khas mereka untuk meleraikan konflik Palestin-Israel.

Oleh kerana pelantikannya dipersetujui Amerika Syarikat dan Israel, Pihak Berkuasa Palestin juga tidak mempunyai sebarang bantahan atas pelantikan wakil yang memang bertujuan mencari penyelesaian kepada proses damai dengan mematuhi resolusi antarabangsa, terutama Pelan Damai dan inisiatif Damai Arab.

Apa lagi, Blair turut melahirkan niat untuk bekerja keras bagi meleraikan konflik mengikut penyelesaian dua negara berasaskan perjanjian dipersetujui dalam proses damai. Kami mengalu-alukan pelantikannya dan berdoa beliau berjaya dalam misinya nanti. Disebabkan ini adalah kali pertama Israel menerima dan mengalu-alukan kehadiran seorang wakil khas, kami berharap Israel akan mematuhi perjanjian proses damai dan melaksanakan apa dipersetujui.

Lebih penting, kami memohon masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel menghentikan tindakan agresif, terutama membunuh rakyat Palestin, memusnahkan harta benda dan menahan rakyat kami. Pada masa sama, kami berharap Israel akan melaksanakan resolusi PBB khususnya menamatkan pencerobohan ke atas wilayah kami, membubarkan penempatan Israel, merobohkan tembok ‘aparteid’, menghentikan kepungan di dalam wilayah didiami rakyat kami serta membebaskan lebih 1,000 tahanan kami di penjara mereka.

Kami amat berharap masyarakat antarabangsa akan memberi sokongan lebih padu kepada kami. Kami kini bekerja keras untuk membentuk hanya satu kuasa dengan satu kerajaan dan satu undang-undang dalam sebuah negara Palestin.

Tugas utama Presiden Mahmoud Abbas sekarang ialah untuk menamatkan rampasan kuasa di Gaza dan melaksanakan dikri Presidennya, memulihkan pentadbiran di Gaza kembali ke tangan kerajaan darurat dan mengadakan pilihan raya baru bagi menyatukan kembali rakyat Palestin.

Universiti, industri saling memerlukan

Oleh Dr Zaini Ujang

HUBUNGAN akademik-industri mempunyai sejarah tersendiri yang semakin sukar difahami. Sejak awal abad ke-20, banyak institusi pendidikan dinaik taraf sebagai universiti diasaskan kepada idealisme ilmu yang tidak begitu sinonim dengan fahaman unilitarianisme, tuntutan pasaran kerja dan perkembangan industri.

Sejak awal abad lalu, universiti ternama seperti Oxford, Cambridge dan Harvard meletakkan tembok besar pemisah antara ‘menara gading’ dengan sektor industri, realiti kehidupan dan komuniti perdagangan dengan alasan pemurniaan ilmu.

Untuk membolehkan ilmu berkembang dan dipelajari dengan penuh ketulusan oleh ‘ahli ilmu’ dan biarawan, maka universiti perlu dipisahkan daripada realiti penuh dengan pelbagai ragam ketidakwarasan, fahaman materialisme, penyelewengan, kerakusan dan kepalsuan.

Barangkali itulah juga yang memberi kesan sehingga berkembang gagasan kebebasan akademik ketika sebahagian besar biaya universiti mula ditampung pihak kerajaan selepas Perang Dunia Kedua khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat (sebelum itu dibiayai dermawan dan peninggalan harta pusaka).

Dalam usaha memacu pembangunan ekonomi ketika ini, generasi muda, termasuk veteran perang dilatih di universiti dan politeknik dengan biaya penuh kerajaan untuk melengkapkan diri masing-masing dengan pelbagai kepakaran sesuai dengan permintaan pasaran kerja dan sektor industri.

Sebagai pulangan, pihak universiti perlu bersikap lebih utilitarian dengan memenuhi permintaan pasaran kerja dari segi falsafah, silibus dan pendekatan ilmu serta kemahiran. Sebelum itu, silibus universiti ditentukan sepenuhnya golongan akademik berasaskan idealisme ilmu ke arah melahirkan golongan yang mempunyai pemikiran, budaya dan citra intelektual sejagat.

Ketika itu, bidang pengajian dan penyelidikan di kebanyakan universiti diasaskan konsep liberal arts dengan terasnya subjek seperti falsafah, pemikiran, ekonomi, politik, sosiologi, sejarah, agama, fizik, kimia, biologi dan matematik.

Pada tahap yang lebih tinggi, pengkhususan dilakukan dalam bidang-ilmu-sarat-falsafah seperti perundangan, perubatan, ekonomi, fizik, kimia, biologi dan seni bina.

Bidang berkaitan langsung dengan dunia industri dan kegiatan ekonomi seperti kejuruteraan, perakaunan, pengurusan dan perdagangan tidak ditawarkan di universiti kerana tidak sesuai dari segi idealisme ilmu ketika itu, malah bercanggah dengan gagasan kemurniaan ilmu.

Di Britain misalnya, bidang pengajian berkaitan dengan amalan dan kehendak industri seperti kejuruteraan, perakaunan dan perdagangan pada awalnya hanya ditawarkan di politeknik dan institusi profesional.

Pada era 1960-an, perubahan mendadak berlaku menampakkan corak lebih mesra utalitarianisme menerusi penubuhan universiti ‘red bricks’ seperti Manchester, Newcastle, Leeds, Sheffield dan Nottingham.

Sehingga ke hari ini, Cambridge dan Oxford masih mengekalkan tradisi ‘pemurniaan ilmu’ itu biar beberapa bidang baru mula diperkenalkan, tetapi dirangka sedemikian supaya lebih bersifat filsafat dan konseptual.

Bidang kejuruteraan di Oxford misalnya, dikenali sebagai Sains Kejuruteraan dengan penekanan kepada prinsip dan konsep sains kejuruteraan, bukan pengkhususan dalam sesuatu cabang kerjaya (kejuruteraan kimia, awam, mekanikal, elektrik dan sebagainya).

Perubahan lebih drastik berlaku pada awal 1990-an menerusi reformasi pengajian tinggi diperkenalkan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher. Reformasi itu berjaya memecahkan ‘tembok pemisah’ antara universiti dan politeknik, menjadikan institusi pengajian tinggi lebih terbuka kepada pelbagai inovasi dan bersifat lebih utalitarian.

Pada awalnya, politeknik dibiayai kerajaan tempatan dan universiti oleh Kerajaan Pusat. Menerusi reformasi disifatkan sesetengah profesor sebagai ‘bencana’ akademik, semua politeknik diberi status universiti menggunakan mekanisme kewangan dan sistem urus tadbir sama. Oleh itu, tidak ketara lagi perbezaan peranan, pendekatan dan disiplin ilmu dalam konteks pengajian tinggi.

Universiti bekas politeknik di Britain mengekalkan identiti dan dasar liberal dari segi idealisme ilmu dengan pendekatan lebih bersifat vokasional. Pendekatan ini mendapat sambutan meluas di kalangan pelajar kerana modul pengajarannya lebih praktikal dan sesuai dengan pasaran kerja.

Kerjasama dan jalinan dengan sektor industri semakin mantap menerusi bidang pengajaran dan penyelidikan.

Sementara universiti lama dan prestij di kebanyakan negara maju semakin menyedari kepentingan industri sebagai rakan dan sasaran pasaran kerja.

Industri juga menaja program penyelidikan. Kelompok ini juga menyedari tidak semua graduan berminat menjadi pekerja ilmu dalam sektor pengajian tinggi yang memerlukan penguasaan ilmu fundamental dan teoretikal.

Kenyataannya kebanyakan graduan akan berkerja dalam pelbagai sektor lain, terutama industri dan perdagangan.

Di sinilah titik tolak sehingga menyebabkan Cambridge bersedia bersifat lebih terbuka dan utilitarian. Ia banyak menerima geran penyelidikan ditaja pelbagai pihak, termasuk industri, misalnya Yayasan Bill dan Melinda Gates menaja program penyelidikan komputer terbesar dalam sejarah.

Malah, pada 7 Jun lalu, Harvard menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada Bill Gates, bekas pelajar paling terkenal dan terkaya yang gagal menamatkan pengajiannya.

Semua peristiwa ini dianggap sebagai ‘pelacuran ilmu’ jika dilakukan pada 1970-an, apatah lagi pada tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Kononnya perkembangan ilmu akan dipengaruhi mereka yang berkepentingan dan kaya-raya dengan menyediakan geran penyelidikan atau endowmen.

Sudah tentu geran itu disediakan dengan matlamat tersirat untuk meningkatkan lagi pengaruh sektor industri dalam perkembangan ilmu. Dengan kata lain, perkembangan ilmu tidak lagi bebas dari segi nilai dan penggunaannya.

Namun, semakin banyak pihak menyedari bahawa institusi pengajian tinggi bukanlah satu-satunya sektor yang menyumbang kepada perkembangan ilmu.

Dalam dunia tanpa sempadan, kecanggihan teknologi maklumat dan berkembangnya ekonomi berasaskan ilmu, maka perkembangan ilmu turut dijayakan banyak institusi lain seperti pusat penyelidikan awam dan swasta, inkubator industri, badan pemikir dan profesional, ilmuan dan perunding bebas, penulis dan pemikir.

Dalam bidang robotik misalnya, syarikat Honda dan Toyota lebih menonjol berbanding MIT atau Imperial College London (ICL). Itulah yang menyebabkan universiti ternama bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk lebih mesra utilitarianisme dengan membuka ruang lebih luas kepada kerjasama dengan pihak industri.

Ketika ini banyak kerusi pengajian, makmal, program penyelidikan dan perundingan di universiti ternama, termasuk MIT, ICL dan Oxford ditaja hampir sepenuhnya oleh pihak industri atau tokoh korporat.

Keadaan ini nampaknya menambah lagi dinamisme perkembangan ilmu. Pihak industri berperanan mengemukakan masalah dan keperluan semasa serta menyediakan biaya penyelidikan dan penajaan lain. Pihak universiti pula mengemukakan gagasan, jawapan dan alternatif untuk membolehkan sempadan ilmu, kemahiran dan maklumat diperluaskan lagi.

Atas kesedaran ini maka Kementerian Pengajian Tinggi sudah pun memulakan inisiatif bekerjasama lebih akrab dengan pihak industri. Inisiatif berkenaan antara lain bertujuan untuk merapatkan jurang persepsi antara sektor akademik dan industri dari segi kemahiran insaniah dan teknikal.

INTI PATI

Revolusi pendidikan

Sejak awal abad lalu, universiti ternama seperti Oxford, Cambridge dan Harvard meletakkan tembok besar pemisah antara ‘menara gading’ dengan sektor industri.

Pada era 1960-an, perubahan mendadak berlaku menampakkan corak lebih mesra utalitarianisme menerusi penubuhan universiti ‘red bricks’.

Perubahan lebih drastik pada awal 1990-an menerusi reformasi pengajian tinggi diperkenalkan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dan ia berjaya memecahkan ‘tembok pemisah’ antara universiti dan politeknik.

Dalam dunia tanpa sempadan, kecanggihan teknologi dan berkembangnya ekonomi berasas
ilmu, maka perkembangan ilmu turut dijayakan banyak institusi.

Kementerian Pengajian Tinggi sudah memulakan inisiatif bekerjasama dengan pihak industri yang bertujuan merapatkan jurang persepsi antara sektor akademik dan industri.

Prof Dr Zaini Ujang adalah pengarang buku ‘Universiti: Mendokong Tradisi Intelektual’ (IKD, 1992) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

Meneroka industri angkasa lepas

Oleh Prof Shah Nor Basir

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan lawatan kerja baru-baru ini ke Pusat Angkasa Tsukuba iaitu satu daripada institusi di bawah Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (Jaxa). Lawatan ini membuka ruang kepada penerokaan perniagaan baru dan juga perkembangan pembangunan industri aeroangkasa negara.

Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Aeroangkasa Negara sudah pasti mempunyai visi yang terbentang luas untuk memajukan program aeroangkasa negara dan ingin melihat Malaysia berada setanding dengan negara maju seperti Jepun. Jepun sudah meluncur begitu maju sekali dalam bidang ini dan hampir menyaingi Amerika Syarikat dan Russia.

Dalam tempoh 25 tahun (1969-1994), Jepun melakukan satu anjakan daripada negara yang belum berjaya melancarkan satelitnya sendiri, menjadi kuasa angkasa yang baru. Agensi angkasa terawalnya yang dikenali sebagai Agensi Pembangunan Angkasa Kebangsaan (NADSA) melancar 30 roket tanpa gagal dan berjaya melancarkan beberapa rangkaian satelitnya sendiri.

Pada 1992, angkasawan pertamanya berjaya diapungkan di angkasa, dengan satu misi eksperimen angkasa dan program itu dikenali sebagai Modul Pengalaman Jepun (JEM). Kejayaan demi kejayaan yang mereka capai mengaktifkan banyak program penyelidikan baru dalam bidang aeroangkasa oleh universiti, institusi penyelidikan dan industri dalam negara terbabit.

Ia termasuk pembangunan program dikenali sebagai `stratospheric platform aeronautical system’ – sebuah pesawat selain membawa penumpang juga akan berfungsi sebagai alat komunikasi dan pemancar serta pemantauan bumi, pembangunan satelit buatan, penyelidikan graviti mikro dan pembangunan program teknologi roket.

Bermula dengan menggunakan teknologi Amerika Syarikat pada 1975 menerusi kenderaan pelancarnya N-1 dan N-2 pada 1982, Jepun berjaya membangunkan teknologi pelancarnya sendiri pada 1996 yang diberi nama sebagai H-1.

Kenderaan pelancar H-1 dibangun menggunakan teknologi MacDonnel Douglas pada tahap pertamanya dan pada tahap kedua semua rangka udara, enjin, sistem kawalan tindak-balas dan juga sistem panduan dibangunkan sendiri oleh saintis Jepun.

Kenderaan ini mampu melancarkan `payload’ sehingga 1100 kilogram ke Orbit Perpindahan Geosynchronous (GTO). Ia melebihi 50 peratus kemampuan teknologi pelancar AS dan empat kali ganda kemampuan N-2 milik Jepun yang juga sudah dibangunkan menggunakan teknologi Amerika.

Kejayaan ini memacu industri Jepun bukan saja sebagai pemangkin industri dalam negara sendiri, malah sebagai subkontraktor kepada agensi angkasa di luar negara Jepun. Industri Berat Mitsubishi (MHI) dan Industri Berat Ishikawajima-Harima (IHI) sudah memulakan pembangunan enjin cryogenci tahap kedua, pembangunan pum-turbo oleh IHI.

Nissan Motors pula sudah membangunkan bahan-dorong pepejal tahap ketiga, manakala industri seperti NEC, Mistsubishi Precision Company dan MHI berjaya membangunkan sistem pandu-arah dan panduan.

Jepun juga berjaya meningkatkan sistem komunikasi satelitnya mulai 1980. Satelit ETS-IV yang dilancarkan pada tahun itu adalah satelit komunikasi paling terbukti keberkesanan sistem elektronik dan kawalan berbanding satelit Barat.

Satelit CS-2 yang dilancarkan kemudian adalah satelit pertama beroperasi menggunakan jalur-Ka (Ka-band) 30/20GHz, walaupun saiznya kecil dengan berat 350kg jisim orbit. Satelit penderiaan jauh pula dilancar pada 1987 dengan diberikan identiti sebagai Marine Observation Satellite (MOS-1).

Satelit dengan jangka hayat reka bentuknya hanya untuk dua tahun mampu bertahan hingga 1995 melebihi enam tahun daripada jangka hayat reka bentuknya. MOS-1 membawa bersamanya meter sinar imbasan gelombang mikro dan meter sinar infra merah haba. Teknologi ini melonjakkan kemajuan sains angkasa Jepun ke alaf yang menyebabkan kegusaran Barat terhadap kepantasan pembangunan teknologinya.

Daripada gambaran ringkas perkembangan teknologi angkasa Jepun itu, ada beberapa pertimbangan yang perlu diterjemahkan hasil lawatan Perdana Menteri oleh masyarakat akademik, industri dan perangka polisi kerajaan.

Antaranya pemantapan dasar aeroangkasa negara, menilai semula Pelan Induk Aeroangkasa Negara, peranan yang harus dimainkan oleh industri dan pembangunan penyelidikan dalam bidang berkaitan oleh institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan.

Menerusi pelan induk itu, jelas menunjukkan visi dan misi kerajaan dalam menjadikan negara ini sebagai hab teknologi aeroangkasa, pusat rujukan setempat dan pemangkin teknologi pada masa depan. Beberapa industri seperti baik-pulih pesawat, industri bahan komposit dan industri teknologi satelit perlu dibangunkan atau dibawa dari luar untuk menjana ekonomi negara.

Penggerak industri perlu proaktif dalam menterjemahkan visi dan misi kerajaan seperti peranan dimainkan oleh industri Jepun, antaranya Mitsubishi dan NEC. Jika kita belum berkemampuan, maka pembangunan modal insan dalam bidang ini hendaklah dijalankan secara lebih agresif bagi melahirkan penyelidikan dan pekerja profesional dan separa profesional dalam bidang berkaitan.

Adalah disyorkan sebuah majlis khas antara industri, akademik dan penggubal dasar negara dibentuk serta berjalan seiring demi memantau terlaksananya dasar negara dalam bidang ini. Kerajaan sudah menubuhkan Agensi Angkasa Negara (AAN) yang seharusnya memberikan tumpuan menyeluruh secara aktif membabitkan penyertaan semua pihak yang pakar dalam bidang ini.

Ia tidak seharus menjadi pusat golongan elit tertentu saja, sebaliknya hendaklah menggerakkan semua penyelidik, agensi penyelidikan dan industri dalam meluaskan ruang pembangunan teknologi dan ekonomi negara.

Dalam beberapa hal terutama penyelidikan, agensi ini hendak membuka ruang penerokaan lebih luas dengan tidak hanya tertumpu kepada pengumpulan data penderiaan jauh atau aktiviti melihat bulan dan bintang semata-mata.

Peranan lebih luas ini perlu melihat kepada penjanaan ekonomi negara menerusi penggalakan pembangunan industri serta galakan penemuan baru penyelidikan dalam bidang seperti avionik, baik-pulih pesawat, teknologi komposit, bahan-dorong pepejal, reka bentuk pesawat moden (hipersonik dan supersonik) dan teknologi satelit.

Pusat Angkasa Tsubuka mempunyai sejumlah besar penyelidikan pembangunan teknologi dalam pelbagai bidang utama teknologi angkasa, antaranya Weightless Environment Test System, 13mcpSpace Chamber dan Protoflight model assembly test facility.

Semua kemudahan dan program ini dirancang dengan teliti oleh Jepun bagi memberi impak sebenarnya kepada dunia bahawa kemampuan mereka setanding negara Barat dan akhirnya akan membawa negara sebelah timur menumpukan perhatian kepada Jepun. Inilah seharusnya yang menjadi sasaran dan peranan agensi angkasa negara ini.

Mungkin setakat ini kita belum berkemampuan menyaingi Jepun, Amerika dan Russia dalam teknologi ini, tetapi apakah sasaran kita untuk 10 tahun akan datang. Adakah kita masih mahu bergantung kepada mereka dalam mencapai visi negara ini.

Sudah tentu jawapannya kita tidak akan selamanya mengharap kuasa besar dalam bidang teknologi ini. Dalam bidang tertentu, kita harus menjadi pemilik utama teknologinya dan ia harus berlaku menreusi dasar mantap dan penyelidikan dirangka dengan rapi.

Negara kita boleh mencapai matlamat ini dan sasaran yang dinyatakan dalam Pelan Induk Aeroangkasa Negara akan tercapai sekiranya semua pihak menterjemah dengan tepat dasar dan visi negara.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi harus diberikan pujian kerana meletakkan bidang aeroangkasa sebagai satu daripada bidang keutamaan program penyelidikan dan pembangunan. Yang perlu dilakukan oleh ahli akademik dan penyelidik adalah merancang pengisian yang betul dalam bidang ini serta mendapatkan pandu arah betul, juga dari Agensi Angkasa Negara.

Ia harus diselaras dan diseragamkan dengan program kerajaan seperti pembangunan program angkasawan, pengisian misi sains dalam program angkasawan, pembangunan program penyelenggaraan dan baik pulih pesawat seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, penguasaan teknologi komposit, aplikasi teknologi aeroangkasa dalam pertanian dan perikanan dan satelit komunikasi.

AAN, universiti dan institusi penyelidikan harus bergandingan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk masa kini dan boleh dikembangkan pula pada akan datang.

INTI PATI

Visi negara mahu memajukan program aeroangkasa negara dan setanding dengan negara maju seperti Jepun

Dalam tempoh 25 tahun (1969-1994), Jepun berjaya melancarkan satelitnya sendiri, menjadi kuasa angkasa yang baru muncul dengan penubuhan Agensi angkasa terawal dikenali sebagai Agensi Pembangunan Angkasa Kebangsaan (NADSA) dan berjaya melancar 30 roket tanpa gagal.

Pada 1992, angkasawan pertama Jepun berjaya diapungkan di angkasa, dengan satu misi eksperimen angkasa menerusi program Modul Pengalaman Jepun (JEM).

Untuk mencapai visi dan misi sebagai hub industri aeroangkasa dasar aeroangkasa negara peru dimantapkan, mengkaji semula Pelan Induk Aeroangkasa Negara, peranan yang harus dimainkan oleh industri dan pembangunan penyelidikan dalam bidang berkaitan oleh institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan.

Penulis adalah Profesor Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia