Wednesday, July 4, 2007

Tak salah bomoh jampi guna ayat al-Quran

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

MINGGU lalu, akhbar ini melaporkan bomoh di Pasir Mas, Mohamad Arifin Ibrahim, 59, mengebumikan enam batang pisang sebagai kaedah 'membuang' makhluk halus yang mengganggu pesakitnya.

Pada 19 Jun lalu pula, Berita Harian melaporkan seorang bomoh wanita di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu menari bogel beramai-ramai ketika mengamalkan sejenis ajaran dan merawat pesakitnya.

Februari 1995, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Juraimi Husin serta pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Idros @ Mohamad Mazlan Idris.

Semua kes yang dilaporkan media atau tidak dilaporkan, menggambarkan kepercayaan kepada bomoh, dukun atau pawang masih popular di kalangan penduduk negara ini, sama ada di kalangan rakyat biasa hinggalah kepada orang kenamaan.

Bomoh adalah tabib kampung mengubati orang sakit menggunakan cara tradisional atau cara kampung, iaitu jampi. Dukun pula ialah orang yang mengubati orang sakit atau memberi ubat cara kampung dan tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya.

Dukun dianggap orang yang mempunyai kebolehan istimewa untuk melakukan sesuatu, biasanya dengan menggunakan kuasa ghaib. Dukun juga adalah orang yang pandai mengubati orang sakit menggunakan jampi mantera dan sebagainya.

Orang Islam di negara ini mempunyai kepercayaan dan amalan tradisi yang ada pengaruh daripada fahaman animisme, Hindu dan sebagainya.

Islam tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Para sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu?” Baginda menjawab, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pensyarah Fakulti Usuludin Universiti Malaya, Dr Mohd Muhiden Abd Rahman, berkata penyakit datang dari Allah dan Allah juga yang mampu menyembuh mereka ditimpa penyakit.

Beliau berkata, memang diakui salah satu kategori rawatan ialah kaedah yang berunsurkan metafizik dan berasaskan jampi, tangkal, azimat dan al-Nusyrah (bacaan tertentu pada air atau ditulis pada kertas, tapak tangan atau pinggan).

Namun, menjadi tugas pesakit atau orang yang membantu pesakit memastikan cara perubatan secara metafizik atau jampi itu menepati rawatan Rasulullah yang dikenali al-Tibb al-Nabawi.

Ini disebabkan Islam menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal al-Quran, hadis, ijmak dan qias akan ditolak.

Dalam konsep perubatan Islam, hanya Allah saja yang berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak-Nya. Manusia disuruh berusaha dan berikhtiar.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi di Ipoh, Perak berkata, tidak salah bagi umat Islam mengamalkan konsep perubatan metafizik atau jampi, dengan syarat kaedah itu menggunakan ayat al-Quran dan tidak menyekutukan Allah.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “ Berkata Abu Zubair, aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami disengat kala jengking, Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah SAW. Berkata seorang lelaki, wahai Rasulullah, bolehkah kamu jampi? Baginda bersabda: “Barang siapa yang mampu antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dilakukan."

Dalam sejarah Islam memang wujud cara perubatan tertentu seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya. Selain kaedah perubatan biasa, mereka juga menggunakan doa, khusus bagi mengubati penyakit seperti yang terdapat dalam buku perubatan.

Namun, mereka tidak menggunakan kaedah atau kepercayaan yang tidak dikehendaki syarak seperti dengan memanggil roh datuk nenek, roh wali, syeikh atau khadam tertentu.

Dibolehkan untuk melakukan jampi kepada diri, keluarga atau orang lain yang ditimpa kesusahan kerana jampi adalah doa perlindungan berdasarkan syarak.

Jampi dianggap perlindungan yang dibacakan kepada seseorang yang menghidap penyakit.

Jabatan Agama Islam Perak mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam, khususnya mereka yang terbabit dengan perbomohan tradisional supaya terhindar daripada amalan bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam sebenar.

Garis panduan itu perlu dijadikan asas dan panduan supaya dapat mengelakkan diri daripada penyelewengan dalam akidah dan syariah Islam.

Allah berfirman dalam Surah Yunus: Ayat 106: Maksudnya “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)".

Dari segi asal-usul bomoh, garis panduan itu menyatakan individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa perbomohannya bersumber daripada Nabi Muhammad SAW, para anbia atau diambil dari al-Quran dan hadis atau berasal daripada amalan sahabat nabi, jika tidak berdasarkan alasan kukuh, iaitu nas al-Quran dan hadis.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat bomoh, pawang atau dukun perlu memerhati atau bertanya kaedah digunakan dalam rawatan untuk mengelakkan pertentangan dengan syariat.

Matlamat perbomohan hendaklah yang baik seperti untuk kesihatan tubuh, kerukunan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.

Dilarang sama sekali menggunakan khidmat bomoh untuk membalas dendam, membuat aniaya, menakutkan orang lain, mengugut, mengkhianati dan perlakuan jahat yang lain.

INFO

Ciri bomoh dan amalan perubatan mengikut Islam

Bomoh hendaklah beragama Islam, akil baligh.

Bomoh tidak boleh melakukan perkara boleh membawa syirik, sama ada melalui iktikad, perkataan atau perbuatan.

Tidak meninggalkan ibadat wajib seperti solat fardu, puasa dan zakat.

Tidak melakukan maksiat, jenayah.

Bomoh tidak memecah-belahkan masyarakat dan keluarga.

Tidak mentafsir ajaran Islam mengikut hawa nafsu.

Tidak memasukkan atau menggunakan unsur bercanggah dengan Islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun yang tidak wajar serta boleh membawa kepada kufur dan syirik.

Tidak boleh bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan.

No comments: