Monday, July 2, 2007

Ekonomi Malaysia diyakini Eropah

MALAYSIA hebat. Kami mencintai Malaysia. Terima kasih Malaysia. Ini adalah antara penghargaan dan pengakuan terbuka beberapa ahli perniagaan Itali – destinasi terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam siri lawatan rasmi ke tiga negara selepas Russia dan Bosnia Herzegovina.

Kata-kata pujian itu disuarakan seorang demi seorang ahli perniagaan Itali dalam sesi dialog selepas Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan di Dewan Winter Garden Hall, Hotel Westin Excelsior, Rome, pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke negara berkenaan, Selasa lalu.

Lebih 200 ahli perniagaan Itali, kebanyakannya ketua syarikat dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk perusahaan kecil dan sederhana, memenuhi dewan itu bagi mendengar sendiri ucapan Abdullah dan bertemu dengan ahli perniagaan Malaysia yang menyertai delegasi Perdana Menteri.

Respons serupa diterima Perdana Menteri pada Forum Perniagaan sempena lawatan rasmi tiga harinya ke Russia bermula 18 Jun lalu dan Bosnia Herzegovina pada 21 dan 22 Jun, yang menggambarkan peningkatan minat dan keyakinan penuh ahli perniagaan ketiga-tiga negara berkenaan terhadap ekonomi Malaysia.

Minat mendalam itu turut dizahirkan menerusi 530 mesyuarat dengan ahli perniagaan Malaysia sepanjang sembilan hari lawatan Abdullah ke tiga negara berkenaan, yang menghasilkan potensi jualan produk serta perkhidmatan bernilai RM73.78 juta dan angka itu dijangka melonjak lagi selepas kedua-dua pihak memuktamadkan perbincangan masing-masing.

Apapun jangkaannya, yang penting lawatan Abdullah membuka laluan seluas-luasnya untuk ahli perniagaan Malaysia meneroka kerjasama secara lebih aktif dengan rakan niaga di tiga negara berkenaan. Forum Perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula menjadi platform untuk ahli perniagaan mencari rakan kongsi dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan masing-masing. Kini terpulang kepada ahli perniagaan Malaysia untuk merebut peluang itu.

Dalam hubungan ini, Abdullah ketika merumuskan hasil lawatannya, berharap apa yang diputuskan akan dilaksanakan pihak terbabit. Beliau juga berharap dapat menyaksikan lebih banyak kerjasama diadakan dalam pelbagai bidang selepas ini.

Perdana Menteri turut gembira kerana lawatannya mendapat respons positif pemimpin Russia, Bosnia Herzegovina dan Itali serta ahli perniagaan di tiga negara berkenaan yang disifatkan sebagai petanda baik ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan rantau itu.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Abdullah ke tiga negara berkenaan sejak menjadi Perdana Menteri. Malah, lawatan rasmi ke Itali adalah yang pertama dilakukan Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 25 tahun.

Dalam lawatan ke Russia, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan suruhanjaya bersama bagi mempercepatkan pemeteraian beberapa perjanjian untuk meningkatkan hubungan dua hala serta kerjasama ekonomi dan perdagangan. Antara lain, kedua-dua negara bersetuju menandatangani beberapa perjanjian termasuk penghindaran cukai berganda dan perlindungan harta intelek.

Malaysia turut menandatangani perjanjian penghindaran cukai berganda dengan Bosnia Herzegovina, destinasi kedua lawatan Abdullah selepas Russia. Kuala Lumpur dan Sarajevo sebelum ini sudah pun membuka laluan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan menerusi penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia Herzegovina pada 1995.

Sempena lawatan ke Itali pula, kedua-dua negara menandatangani dua deklarasi bersama membabitkan kerjasama ekonomi dan pertanian bagi memperluas dan mempelbagaikan lagi kerjasama dalam bidang perdagangan, yang kini lebih tertumpu pada kelengkapan pertahanan.

Pada akhir Forum Perniagaan di Rome, Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) dengan syarikat Itali, Selex Sistemi Integrati Inc (SSI). MoU itu membabitkan penubuhan Pusat Perkhidmatan Teknikal Malaysia (MTSC) yang menyediakan bantuan perkhidmatan teknikal di AAT sebagai sokongan pengoperasian peralatan Bantuan Bantu Arah Lapangan Terbang SSI (NAVAID) di rantau Asia Pasifik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Itali, Romano Prodi, bersetuju menerima pelawaan Abdullah bagi mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat ini yang dilihat sebagai satu lagi perkembangan positif ke arah merapatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Pada masa sama, kesatuan industri Itali, Confindustria, memberi jaminan akan membantu mempromosikan Malaysia dengan menghantar rombongan ke Kuala Lumpur bulan depan bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama dengan sektor swasta Malaysia.

Naib Presiden Confindustria, Andrea Pininfarina, yakin kedudukan strategik Malaysia di tengah ekonomi global serta keupayaannya mewakili pasaran yang menguntungkan, mampu menarik minat syarikat Itali untuk melabur atau mengadakan usaha sama dengan sektor swasta negara ini.

Sambil menyatakan sokongannya terhadap usaha Kerajaan Malaysia dan Itali merapatkan hubungan kedua-dua negara, terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, Pininfarina memberi jaminan pihaknya akan berusaha meningkatkan kefahaman syarikat Itali mengenai potensi ekonomi Malaysia.

Apa pula pandangan ahli perniagaan Malaysia? Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail, mengakui masih ramai ahli perniagaan kekurangan pengalaman dan tidak memahami dasar sesebuah negara hingga menyukarkan mereka menembusi pasaran luar negara.

Berikutan itu, beliau yang mengetuai delegasi sektor swasta Malaysia dalam rombongan Perdana Menteri, berterima kasih kepada Abdullah kerana membawa bersama ahli perniagaan dalam lawatan ke tiga negara berkenaan bagi memberi mereka pendedahan serta peluang meneroka pelaburan di luar negara.

"Lebih 60 syarikat menyertai delegasi Perdana Menteri di tiga negara berkenaan dan saya lihat banyak peluang boleh diterokai ahli perniagaan kita. Dalam Forum Perniagaan pula, kita berpeluang bertemu ahli perniagaan yang mencari rakan kongsi dan dapat memperkenalkan produk kita," katanya.

Rozali bagaimanapun berharap ahli perniagaan Malaysia tidak hanya beriya-iya sewaktu dalam rombongan Perdana Menteri, sebaliknya hendaklah mengambil tindakan susulan bagi merealisasikan rundingan yang diadakan dengan syarikat di ketiga-tiga negara berkenaan.

"Kita tidak mahu terlalu banyak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani, tetapi yang penting hasilnya," katanya sambil menambah pihaknya akan turut berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai potensi serta peluang pelaburan di Russia, Bosnia Herzegovina dan Itali dengan rakan niaga lain di negara ini.

Rozali menjelaskan Russia kini lebih terbuka, manakala Bosnia Herzegovina yang dalam proses membina semula ekonominya selepas terbabit dalam peperangan etnik lebih sedekad lalu, lebih cenderung terhadap Malaysia.

Itali pula mempunyai pasaran yang besar, tetapi ahli perniagaan mesti agresif berikutan persaingan hebat di negara itu. Hubungan perdagangan Malaysia-Itali kini semakin menggalakkan dengan pertumbuhan purata tahunan 6.6 peratus dalam tempoh 1996-2006.

Tahun lalu saja, dagangan kedua-dua negara mencecah AS$2.13 bilion (RM7.2 bilion) meningkat sembilan peratus berbanding AS$1.9 bilion (RM6.4 bilion) pada 2005. Eksport Malaysia ke Itali pula meningkat 39.9 peratus kepada AS$987.6 juta (RM3.3 bilion) tahun lalu berbanding AS$706 juta (RM2.4 bilion) pada 2006. Bagaimanapun, pelaburan Itali di Malaysia masih kecil dengan hanya mencatat kurang AS$200 juta (RM680 juta) sejak 2000.

Di Bosnia Herzegovina pula, pelaburan langsung asing (FDI) negara itu setakat ini masih dikuasai negara Eropah didahului Croatia, Lithuania dan Austria, manakala hanya sebahagian kecil disumbangkan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang didahului Kuwait, Turki, UAE, manakala Malaysia menduduki tangga keempat. Bagaimanapun, jumlah dagangan Malaysia-Bosnia Herzegovina masih rendah, iaitu di bawah AS$2 juta (RM7 juta).

Apakah angka ini akan berubah selepas ini? Mungkin terlalu awal untuk kita memberi jawapannya, tetapi yang pasti lawatan Perdana Menteri ke Russia, Bosnia Herzegovina dan Itali bukan saja dapat memperbaharui hubungan dua hala yang sudah lama terjalin, malah memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan.


2/7/2007

No comments: