Monday, July 2, 2007

Kepemimpinan DPMM perlu pacu kejayaan Bumiputera

SABTU lalu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) beralih kepemimpinan kepada Syed Ali Mohamed Alattas sebagai Presiden baru bagi tempoh 2007-2010 selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang memegang jawatan itu sejak 2001, pada pemilihan dewan itu. Ini bermakna majoriti ahli mahukan kepemimpinan baru yang mereka harap boleh membuat perubahan dalam pertubuhan yang memayungi hampir 10,000 usahawan dan profesional Melayu dalam pelbagai bidang perniagaan. Syed Ali selepas selesai sesi pemilihan itu, berkata beliau akan menyusun semula DPMM selaras dengan kehendak ahli dewan. Menurut beliau, perwakilan mahukan perubahan dan sebahagian besar mahukan muka baru melakukan perubahan itu. Dengan itu, tugas Syed Ali dan barisan kepemimpinannya amat berat terutama dalam merealisasikan impian kerajaan bagi mencapai matlamat 30 peratus ekuiti Bumiputera seperti yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun matlamat itu gagal, semangat DEB itu hendaklah diteruskan untuk terus memacu kejayaan Bumiputera dalam dunia korporat. DPMM perlu merangka pelan untuk membantu ribuan tenaga profesional Bumiputera bagi mencapai tujuan itu. Kita juga berharap DPMM tidak lupa matlamat penubuhannya untuk kepentingan dan faedah orang Melayu dalam bidang perniagaan dan iktisas selain menyatupadukan mereka.

Dalam hubungan ini, DPMM perlu lebih agresif membantu masyarakat Melayu seperti menganjurkan kongres ekonomi mencari jalan memantapkan lagi pembabitan mereka dalam perniagaan, seperti pernah diadakan pada 1980 apabila DPMM menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua (KEB2) dengan kerjasama Umno. Namun, dalam usaha itu kita tidak mahu DPMM diperalatkan untuk kepentingan peribadi seperti mendapatkan kontrak kerajaan dan sebagainya, untuk diri sendiri atau kroni. Tidak salah bagi mereka mewujudkan rangkaian perniagaan dengan badan lain asalkan tidak menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya. Mereka harus bersatu dan sebarang perpecahan bukan saja menggugat DPMM, malah menjejaskan perniagaan Bumiputera/Melayu itu sendiri. Kita tidak mahu wujud budaya surat layang atau tuduh menuduh seperti berlaku sebelum pemilihan baru-baru ini sehingga memanaskan persidangan. Ini termasuk laporan polis dibuat berhubung dakwaan penyalahgunaan wang DPMM sebanyak RM350,000, sepanjang empat tahun lalu. Dakwaan itu sedang disiasat Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Biar kita serahkan kepada polis menyiasat perkara itu dan pihak DPMM menumpukan kepada usaha memajukan lagi perniagaan Bumiputera.

Mereka perlu merenung kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis Malam Anugerah DPMM minggu lalu yang melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan Bumiputera mencapai ekuiti 30 peratus ekoran kelemahan pengurusan syarikat Bumiputera. Menurut Perdana Menteri, tidak cukup dengan hanya mempunyai perniagaan yang baik, jika mereka tidak dapat menguruskan perniagaan dengan baik. Apa yang penting ialah mereka perlu turut menitikberatkan pembinaan modal insan untuk melahirkan golongan pengurusan Bumiputera profesional dan berkualiti. Mereka boleh mencontohi syarikat tersohor seperti Petronas yang mempunyai pengurusan yang baik dan sentiasa mendapat pujian di luar negara serta diiktiraf sebagai satu daripada tujuh syarikat tenaga terbesar di dunia. Pengurusan baik ialah mampu menghadapi saingan hebat kerana dunia sekarang tidak semudah dulu. Apabila kerajaan memperkenalkan DEB, ramai masyarakat Melayu berjaya hingga ada antara mereka menjadi pentadbir, ahli ekonomi, jutawan dan sebagainya. Di kalangan ahli DPMM, terutama yang memiliki syarikat sendiri, harus melihat kepada kemungkinan bergabung membentuk satu entiti yang besar atau konsortium bagi mendapatkan projek di luar negara mahu pun tempatan.


2/7/2007

No comments: