Wednesday, July 4, 2007

Anugerah PR bukan cara bijak tangani pelarian di Sabah

Oleh Roslee Mardan (Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah)

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai isu pelarian Filipina di Sabah baru-baru ini tentunya mengejutkan ramai pihak di Sabah terutama Ketua Menteri Sabah sendiri iaitu Datuk Seri Musa Aman.

Beliau agak terkejut dan segera meminta Mohamed Nazri membuat penjelasan lanjut. Baru-baru ini Mohamed Nazri menyatakan bahawa pelarian Filipina di Sabah lambat laun akan diberi taraf kerakyatan PR atau penduduk tetap di negeri itu.

Taraf kerakyatan ini akan diberi kepada pemegang dokumen IMM13, manakala asas yang mendorong beliau mengeluarkan kenyataan itu adalah kerana ia satu usaha jangka panjang kerajaan menangani kebanjiran pendatang asing di Sabah. Dianggarkan 10,000 hingga 15,000 rakyat Filipina berstatus pelarian di Sabah belum memperoleh dokumen IMM13 dan menurut menteri itu, langkah mengesahkan status mereka sedang dijalankan.

Sebagai anak watan negeri Sabah yang bimbang konflik sosial di negeri itu, saya berasa terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan berhubung isu ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu diperjelaskan kepada pucuk pimpinan kerajaan Sabah dengan segera kerana nanti akan mengeruhkan permasalahan sosial serius jika ia dilaksanakan pada masa akan datang.

Sudah tentu rakyat Sabah menghormati niat kerajaan. Namun, langkah berkenaan pada pendapat saya bukanlah langkah berkesan bagi menangani masalah. Sebagai asasnya, kita perlu sama-sama memahami senario kehidupan warga asing khususnya pelarian Filipina di Sabah.

Umumnya kita mengetahui, masalah pendatang asing bukan saja menghantui negeri Sabah, malah pada hari ini, pendatang asing sudah pun membanjiri bandar besar di seluruh negara. Impak daripada kebanjiran pendatang asing ini jelas semakin membimbangkan terutama dari segi konflik sosial dan keselamatan negara.

Contohnya, kes jenayah seperti rogol, bunuh, rompak, samun dan ragut. Ini belum mengambil kira pencemaran bandar, pelacuran serta masalah setinggan. Benar bahawa warga tempatan juga terbabit dalam jenayah di negara ini.

Tetapi jika tidak disumbangkan oleh kegiatan jenayah daripada pendatang asing, statistik jenayah di negara kita tidaklah seteruk seperti dilaporkan.

Sebenarnya harus difahami bahawa Sabah satu-satunya negeri di Malaysia sudah lama 'berendam air mata' akibat kebanjiran pendatang asing. Ini dialami terutama penduduk tempatan sendiri.

Sebab itu, disarankan agar Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian serius kepada penyelesaian terbaik terhadap masalah ini. Kerajaan Persekutuan disarankan agar memahami sedalam-dalamnya akan kepentingan penduduk tempatan Sabah, yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa untuk berhadapan dengan pendatang asing.

Kebanyakan rakyat asing ini datang sama ada bekerja sebagai buruh binaan sah atau datang secara haram. Pada masa kini penduduk tempatan Sabah mendakwa mereka (warga asing) dilihat telah berjaya 'menawan' bandar utama di negeri itu sehinggakan wajah sebuah bandar yang sepatutnya cantik dan indah, dicemari sikap negatif warga asing ini.

Di pinggir bandar, pendatang asing membina rumah setinggan. Agak menghairankan pula, rumah setinggan dibina sejak tahun 80-an kini sudah dinaik taraf menjadi sebuah kampung. Berkali-kali pihak Majlis Perbandaran Kota Kinabalu pada masa itu (kini Majlis Bandaraya) merobohkan perkampungan terbabit.

Pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyediakan kemudahan asas bagi memenuhi tanggungjawab kemanusiaan kepada penduduk warga asing.

Masalah tahap kebersihan di bandar utama di Sabah juga disebabkan faktor atau sikap 'pengotor' warga pendatang asing. Sampah sarap kelihatan bertaburan. Malah, ada masanya pihak berkuasa dituduh tidak menjalankan tugas dengan sempurna.

Dengan mengambil contoh di Kota Kinabalu, misalnya, kedai makan menjadi lokasi meminta sedekah oleh golongan kanak-kanak pendatang asing. Malah di tepi jalan raya, wanita warga Filipina berniaga secara haram.

Antara barang diniagakan ialah barangan rokok dan pakaian. Didapati semua barangan berkualiti rendah. Dari sudut ekonomi juga warga Filipina atau pendatang asing ini kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar dalam sektor pembinaan dan pembantu di pasar raya, kedai runcit dan tukang sapu.

Keadaan hidup warga Filipina seolah-olah tidak terurus mencacatkan pemandangan negeri Sabah terutama di kawasan bandar.

Kita perlu melihat kesan jangka panjang kepada negara dan bangsa. Walaupun kita mempunyai wawasan mewujudkan sebuah negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dengan kepelbagaian kaum, kita hendaklah bijak memastikan bangsa dibina dan diadun daripada bangsa berkualiti.

No comments: