Tuesday, July 3, 2007

Rukun Negara panduan harungi globalisasi

DALAM era globalisasi ini, ramai menganggap nasionalisme sesebuah negara tidak lagi bererti kerana liberalisasi ekonomi akan menyebabkan negara tidak memiliki kebebasan selepas dikuasai syarikat gergasi multinasional.

Pandangan lebih ekstrem ialah seperti terkandung dalam buku The Clash of Civilization oleh Samuel Hungtinton yang berpendapat negara bangsa akan menjadi lemah sebagai entiti politik.

Melihat apa berlaku terhadap senario dunia yang semakin gawat hari ini, tanggapan seperti di atas tidak begitu tepat. Akibat kesan globalisasi menjadikan sesebuah negara bangsa itu cuba mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah airnya.

Misalnya, di negara Amerika Latin semangat rakyatnya mempertahankan kebebasan dan kedaulatan tanah air semakin meningkat akibat penentangan terhadap perjanjian ekonomi yang menyusahkan kehidupan mereka. Begitu juga di Asia di mana negara seperti Jepun, Korea dan China masih mempertahankan identiti dan semangat nasionalisme mereka.

Dalam konteks ideologi pula kita dapati perkembangan di Asia Barat yang berakar umbi daripada isu Palestin menyebabkan kebangkitan generasi Islam di rantau itu memberikan tentangan kuat ke atas orde baru dunia yang dipimpin Amerika Syarikat. Walaupun ia mengambil masa lama bagi mengembalikan kedaulatan, perjuangan mereka terus membara selagi Zionis dan Amerika Syarikat terus membuat. Malah, Hungtinton dalam bukunya itu melihat tamadun Cina dan Islam akan menjadi cabaran yang kuat kepada tamadun atau hegemoni Barat.

Sikap kita menghadapi arus dan tekanan globalisasi ini perlulah jelas. Kita seharusnya menyedari desa sejagat itu hanyalah kumpulan negara yang wujud di dunia hari ini dan kita (Malaysia) adalah sebuah daripada negara bangsa itu. Kita tidak perlu menjadi lemah dalam memperkukuhkan kedudukan jati diri dan keperibadian kita. Globalisasi tidak sepatutnya menjadikan semangat keperibadian kita lemah.

Semangat nasionalisme sebagai satu bentuk gerakan ideologi yang bertujuan menegakkan kedaulatan dan kekuasaan sesebuah negara bangsa yang bersatu perlu bersemarak di jiwa generasi muda kita. Perasaan kesetiaan perlu dimiliki rakyat Malaysia.

Kini negara hampir memasuki setengah abad kemerdekaan. Sambutan Jubli Emas 50 tahun kemerdekaan negara akan disambut pada 31 Ogos. Impian kita ialah mencapai Wawasan 2020 ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.

Ada sembilan cabaran yang digariskan untuk mencapai hasrat berkenaan dan satu daripada sembilan cabaran itu ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Kita sudah mempunyai asas kukuh ke arah mencipta masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Asas yang saya maksudkan itu ialah Rukun Negara – satu ideologi dan falsafah hidup rakyat Malaysia harus dilihat sebagai alat atau mekanisme penting dalam membina keperibadian dan jati diri bangsa Malaysia. Walaupun dunia dikatakan sudah bersifat sejagat, kewujudan negara bangsa masih penting dan releven bagi menghadapi cabaran yang semakin rencam sifatnya.

Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip perlu diterjemahkan dalam bentuk semangat nasionalisme rakyat Malaysia. Penghayatan terhadap Rukun Negara mestilah merentasi dan menyisihkan diri daripada ideologi perkauman yang sempit.

Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetian Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara dilihat amat releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat Malaysia pada alaf baru ini. Apa yang perlu ialah anjakan paradigma daripada melihat Rukun Negara hanya sebagai panduan dan landasan hidup rakyat dianjakkan kepada tahap penghayatan nasionalisme supaya kedudukan negara bangsa Malaysia terus diperkukuhkan. Kita tidak mahu konsep negara bangsa Malaysia hanya menjadi satu mitos tanpa penghayatan berkesan terhadap ideologi nasional ini.

Rukun Negara sebagai satu ideologi nasionalisme harus dapat mengungkap suatu perspektif mengenai Malaysia sebagai negara bangsa memerlukan ‘internal cohesion’ atau kesepaduan rakyat dalam menghadapi gelombang dan cabaran globalisasi.

Menerusi ‘internal cohesion’ ini juga kita akan mampu menghadapi sembilan cabaran yang digariskan di bawah Wawasan 2020. Akhirnya marilah kita imbas kembali kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bangsa ini mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah dan kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia yang dengan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa. Justeru, jangan biarkan globalisasi melemah dan mencairkan ketahanan dan keperibadian kita.

MOHD AYOP ABD RAZID,
Bukit Perdana, Kuala Lumpur.


3/7/2007

No comments: