Tuesday, July 3, 2007

UMK bukti kesungguhan Umno

Oleh Hambali Abdul Latiff

Universiti Malaysia Kelantan usaha kembalikan kedudukan sebagai pusat ilmu tersohor

YANG dijanjikan pada 2004 sudah tertunai. Janji Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat Umno Kelantan dikota. Rakyat Kelantan tentu bangga apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mula beroperasi dan mengambil pelajar sulung, Ahad lalu.

UMK bukan saja lambang kesungguhan dan kebijaksanaan Umno memperjuangkannya, malah untuk maruah Kelantan yang sekian lama tertinggal dalam konteks memiliki sebuah universiti, berbanding negeri lain.

Dengan kesediaannya menerima kumpulan pelajar pertama pada tarikh itu menandakan apa yang dipolimikkan, sama ada oleh Umno atau kerajaan negeri, akhirnya menjadi kenyataan.

Walaupun hanya program prasiswazah ditawarkan, ia permulaan baik dan turut menguntungkan pelajar luar Kelantan. Jika selama ini pelajar Kelantan membanjiri kampus di seluruh negara, kini giliran Kelantan pula membuka pintunya.

Dengan kerja pengubahsuaian kampus sementara universiti itu di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa siap sepenuhnya, 400 pelajar perintis, termasuk kira-kira 25 peratus pelajar dari Kelantan kini mula mengikuti empat program pengajian.

Program itu ialah Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian), Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Zainai Mohamed, berkata Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan mengambil 120 pelajar, Fakulti Agroindustri dan Sumber Asli pula 100 pelajar dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, 180 orang.

UMK menerima kumpulan pelajar pertamanya Ahad lalu selepas kerja pengubahsuaian kampus sementara universiti itu di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa siap sepenuhnya.

Dr Zainai yang dilantik sebagai naib canselor pertama berkuat kuasa pada 1 Oktober 2006 berkata, kemudahan disediakan di UMK agak selesa dan tanpa sebarang masalah walaupun berstatus kampus sementara.

Kampus itu dilengkapi makmal dan perpustakaan yang mempunyai 2,000 judul buku dan kemudahan terkini. Asrama kediaman mampu menampung 400 pelajar yang turut dilengkapi surau, kafeteria, bilik aktiviti dan kemudahan riadah untuk pelajar.

Memperkatakan UMK, kita tidak boleh lari daripada hakikat. Ia adalah perjuangan Badan Perhubungan Umno Kelantan dengan hasrat menjadikan semula negeri itu sebagai pusat ilmu bagi negara dan rantau ini yang satu ketika dulu begitu terkenal.

Pada Januari 2005, Ketuanya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, Kelantan mempunyai ahli akademik dan tenaga pengurusan mencukupi serta memiliki pengalaman dalam mentadbir universiti.

Ketika itu, Annuar berkata, Umno Kelantan akan mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada di Kelantan bagi mewujudkan kampus sementara sekiranya cadangan penubuhan universiti diluluskan kerajaan.

Umno Kelantan tidak memaksa mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar merealisasikan cadangan berkenaan. Memorandum mengenai universiti yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu adalah satu daripada aspirasi rakyat Kelantan yang memberi sokongan kepada Umno pada pilihan raya 2004.

Harapan Umno ialah cadangan penubuhan Universiti Kelantan itu dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sebelum itu, pada 23 November 2004, Najib berkata, kerajaan akan tetap mengotakan janji membina sebuah universiti awam di Kelantan jika BN berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.

Ternyata walaupun gagal menumpaskan Pas dalam pilihan raya umum lalu, keputusan mesyuarat Kabinet yang membuat ketetapan untuk mengesahkan janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum lalu tetap ditunaikan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berikrar beberapa hari lalu untuk mencurahkan segala pengalaman dan kepakarannya bagi memajukan universiti terbabit.

Beliau bersama ahli lembaga pengarah yang lain berjanji akan berusaha membawa UMK mencapai matlamat penubuhannya yang meletakkan keusahawan sebagai teras utama. Ia akan dilakukan dengan mengadunkan antara akademik dengan bidang perniagaan sebenar bagi membolehkan setiap graduan UMK menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan dan keusahawanan sebenar.

Bercakap selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kelantan di kampus sementara itu, Hamad berharap UMK akan dipastikan setanding dengan universiti ternama lain.

Rombongan berkenaan diketuai Annuar, juga Adun Kok Lanas. Mereka turut mendengar taklimat yang disampaikan Dr Zainai. Annuar mengalu-alukan pelantikan Hamad yang diyakini mampu melonjakkan kemampuan UMK. Rakyat Kelantan khususnya cukup berbangga dan gembira dengan pelantikan itu.

Beliau yakin pelantikan Hamad memberikan banyak manfaat kepada pelajar kerana Lembaga Pengarah UMK diketuai seorang tokoh korporat disegani.

Juga penting, ibu bapa dan keluarga pelajar UMK yang anak mendaftar pada 1 Julai tentu bangga kerana kumpulan pelajar ini adalah perintis kepada kemajuan universiti yang berjaya diperjuangkan Umno selepas kegagalan beberapa pihak memohonnya sebelum ini.

UMK adalah permulaan kepada mengembalikan Kelantan sebagai ‘Serambi Makkah’ yang tulen dalam konteks kecemerlangan ilmu.

Sejarah kini membuktikan bahawa perjuangan murni Umno di Kelantan mula membuahkan hasil.

Satu hakikat yang tidak boleh diperlekeh kerajaan negeri serta rakyat Kelantan amnya, ialah banyak lagi yang menunggu untuk dinikmati dan dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan.

FAKTA
Program pengajian, kemudahan UMK


Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian).

Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan.

Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif.

Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan.

Sebanyak 400 pelajar perintis, termasuk kira-kira 25 peratus pelajar dari Kelantan kini mengikuti pengajian.

Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan mengambil 120 pelajar.

Fakulti Agroindustri dan Sumber Asli 100 pelajar.

Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, 180 orang.

Kampus itu dilengkapi makmal dan perpustakaan yang mempunyai 2,000 judul buku.

Asrama kediaman mampu menampung 400 pelajar yang dilengkapi surau, kafeteria, bilik aktiviti dan kemudahan riadah.


3/7/2007

No comments: