Wednesday, July 4, 2007

Minda Lestari : Puisi berkesan cetus semangat cintai alam

Bersama Prof Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

SAYA mula memahami kepentingan alam sekitar bukan menerusi kuliah di universiti atau bahan bacaan ilmiah. Saya juga tidak pernah diajar secara langsung mencintai alam sekitar ketika di sekolah. Jika ada pelajaran atau kegiatan kokurikulum, ia terhad kepada beberapa aspek alam sekitar seperti hutan dan sistem pengairan dan selebihnya untuk tujuan peperiksaan.

Kesedaran awal sebenarnya timbul apabila saya membaca dua puisi karya Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, berjudul Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya (Puisi Balada) dan Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar (Puisi Surat Burung).

Puisi Balada terbit pada 1979, lama sebelum timbul gerakan Islah alam sekitar di Malaysia. Puisi itu menceritakan nasib sebatang beringin berusia ratusan tahun di pinggir jalan di ibu kota yang terpaksa dikorbankan semata-mata untuk membolehkan pelaksanaan projek pembangunan. Dalam puisi itu, Usman menggambarkan pohon beringin tua itu berperanan sekian lama menadah mentari memayungi bumi. Di situlah burung-burung berterbangan menyanyi dan kupu-kupu berkejaran. Di bawah beringin itu juga anak-anak bermain di keteduhan perdunya.

Puisi Balada diakhiri dengan pengucapan terakhir ... Namaku Beringin pohon tua yang terbuang dimusuhi rancangan bernama pembangunan.

Usman tambah sinis dalam Puisi Surat Burung yang menceritakan protes masyarakat burung terhadap tindakan dilakukan Datuk Bandar dan ‘manusia kota’. Masyarakat burung menuntut menghijaukan seluruh wilayah seperti dijanjikan. Surat Burung memperihalkan nasib masyarakat burung semakin pupus akibat pelbagai projek ‘pembangunan’ sehingga melenyapkan pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan.

Sesungguhnya, kedua-dua puisi itu begitu mempengaruhi pemikiran dan perasaan saya terhadap alam sekitar. Setiap kali saya bingung dengan pelbagai fakta dan data mengenai penyelidikan atau episod pencemaran alam sekitar maka puisi itu sering kali saya dekati. Puisi itu memberi semangat, sekali gus menyuarakan nasib alam perlu dibela!

Tidak seperti Usman yang puitis, saya hanya mampu menulis makalah ilmiah untuk tatapan rakan sebidang. Sesekali menulis makalah umum seperti Minda Lestari ini yang barangkali agak membosankan.

Puisi Usman itu sering saya deklamasi dalam acara puisi sejak lebih 20 tahun lalu. Bagi saya, sebagai peminat Usman, puisinya menggambarkan penulis, penyair dan sasterawan mempunyai peranan tersendiri dalam sejarah perkembangan pemikiran dan gerakan alam sekitar di Malaysia. Malah, mereka mempelopori pelbagai aliran dan citra pemikiran yang terhasil daripada penghayatan mereka terhadap keadaan dan persekitaran setempat.

Saya tidak pasti apakah sebelum kedua-dua puisi itu dikarang, Usman pernah membaca buku magnum opus Rachel Carson, The Silent Spring (1962) atau laporan profesor MIT berjudul Blueprint for Survival (1972). Kedua-dua buku itu mencetuskan gelombang kesedaran besar di Barat sehingga mewujudkan aliran pemikiran environmentalisme, iaitu satu fahaman menjadikan alam sekitar sebagai teras dalam setiap aktiviti kehidupan, termasuk dalam ekonomi, politik, ideologi, sosial, perdagangan, teknologi dan cara hidup. Gerakan hijau semakin berpengaruh di serata dunia ketika ini sedikit sebanyak bertitik-tolak daripada kedua-dua penulisan itu.

Ketika pertama kali membaca, cuba memahami dan menghayati Puisi Surat Burung, saya adalah pelajar aliran sains di Melaka. Ramai juga rakan saya hairan dengan minat saya terhadap puisi, malah secara sinis mendoakan saya menjadi penulis ternama seperti Usman.

Saya sebenarnya kagum bukan saja bahasa tersusun indah dan gaya penceritaan puisi itu, malah Usman seolah-olah tampil mewakili dan menyuarakan kesengsaraan masyarakat burung yang semakin tertekan dan tertindas dengan perlakuan manusia mengejar pembangunan. Sebagai manusia, saya turut bersalah jika tidak berbuat sesuatu!

Jika Usman masih hidup ketika ini dan masih giat berkarya, saya menjangka beliau akan menulis mengenai nasib beruang kutub dan penguin yang semakin terhimpit dengan kepupusan ketulan ais di Kutub Utara. Barangkali Usman akan menulis puisi Surat Beruang Kutub kepada Presiden Bush atau Balada Cairnya Ais Kutub dalam Kehangatan Bumi.

Demikianlah Usman dengan puisinya jauh melampaui zaman, khususnya dalam penampilan dan penghayatan minda lestari. Tidak seperti saya yang hanya memikirkan sesuatu isu dan penyelesaiannya secara fakta dan data saja, Usman lebih prihatin dan sensitif. Beliau menyuarakan isi hatinya dengan lantang, di sebalik kata-kata dihias dengan cerita burung dan beringin tua. Ada kalanya beliau sinis menerusi bait puisi yang sering kali menyentuh jiwa. Bagi saya itulah lebih berkesan bagi merubah pemikiran masyarakat.

Saya juga berharap lebih ramai penulis dan penyair tampil mencontohi Usman untuk menyampaikan mesej alam dan memantapkan minda lestari. Usman menyedari hanya manusia dapat ‘menghijaukan seluruh wilayah’. Itulah sebabnya Surat Burung ditujukan kepada Datuk Bandar yang bertanggungjawab merancang dan mengawasi rancangan pembangunan.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

No comments: