Monday, July 2, 2007

SKMM, polis jalin kerjasama sebar notis amaran

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima sebanyak lapan aduan mengenai penipuan menggunakan SMS dan 32 aduan penggunaan SMS berunsur ugutan, lucah serta sumbang sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Adelina Iskandar, berkata berdasarkan pemantauan didapati kebanyakan sindiket menjalankan kegiatan penipuan SMS seperti menawarkan hadiah kemenangan beroperasi dari luar negara seperti Indonesia dan Macau.

“Kes penyalahgunaan SMS untuk tujuan penipuan adalah kesalahan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ia adalah di bawah bidang kuasa pihak polis. Kes ini dianggap amat serius kerana membabitkan kehilangan wang pengguna.

“Justeru, sesiapa yang mengetahui atau pernah menerima SMS sebegini dinasihatkan supaya merujuk kepada polis dengan segera,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas kaedah digunakan SKMM untuk menangani masalah ini, beliau berkata pihaknya sudah menjalin kerjasama dengan polis serta meminta Pihak Pemberi Perkhidmatan Selular (PPS) supaya menyebarkan amaran sindiket penipuan itu menerusi SMS kepada setiap pengguna talian mereka.

Contohnya, ketika berlaku kes penipuan membabitkan peraduan Akademi Fantasia 4 (AF4), SKMM meminta PPS menghantar pengumuman kewujudan sindiket terbabit menerusi SMS kepada semua pelanggan mereka dan tindakan ini sudah dilaksanakan.

“Sebagai kaedah tambahan, kami meminta pihak PPS supaya meletakkan notis amaran dalam laman web dan juga di kaunter perkhidmatan sebagai langkah berjaga-jaga serta menjadi maklumat kepada semua pengguna telefon mudah alih.

“Pihak PPS juga sudah memaparkan notis mengenai kesalahan penyalahgunaan SMS mengikut seksyen 233 di dalam laman web mereka sebagai satu daripada usaha menyokong kempen kesedaran pengguna,” katanya.

Menjelaskan modus operandi yang sering digunakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Adelina berkata, kebiasaannya mereka terbabit menghantar SMS berbentuk tawaran hadiah lumayan serta meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya sebagai deposit atau meminta mangsa memberikan nombor pin akaun bank.

Malangnya, selepas semua prosedur dipatuhi, sindiket itu akan menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi. Justeru, orang ramai adalah diingatkan supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan mana-mana tawaran hadiah daripada sumber yang tidak diketahui serta tidak mendedahkan nombor pin akaun bank mereka kepada pihak ketiga.

Bagi kes menggunakan SMS untuk menyebarkan fitnah serta berbaur hasutan, Adelina berkata, kes penyebaran fitnah adalah satu kesalahan mengikut seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai panduan kepada mangsa fitnah, beliau menasihati supaya mangsa dapat melaporkan kejadian kepada pihak polis disertakan bersama butiran SMS sebagai bahan bukti untuk memudahkan lagi proses penyiasatan.

“Banyak saluran boleh digunakan untuk membuat aduan iaitu dengan terus ke balai polis atau menghubungi 1-800-888-030, e-mel ke consumer_complaint@cmc.gov.my serta faks ke 03-86881003,” katanya.


2/7/2007

No comments: